KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
hari ini memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa jumlah pemilih berdaftar
sehingga 30 Jun lalu ialah 14,622,881 orang.
Beliau berkata, jumlah pemilih baru yang didaftarkan mulai 1 Januari
sehingga 30 Jun lalu ialah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran
menukar alamat bagi tempoh yang sama ialah 152,832 orang.
"Jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar
tetapi belum mendaftar sebagai pemilih sehingga 30 Jun lalu ialah
3,797,785 orang," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018.
Azalina turut berkata, kajian semula persempadanan bahagian pilihan
raya sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian berakhir pada 14
September 2018.
Katanya, syor kajian itu akan dibincangkan selepas laporan akhir
diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
dibentangkan di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, pindaan Akta Insolvensi 1967
yang berkuat kuasa Oktober lalu dijangka akan mengurangkan jumlah kes
yang dijatuhkan perintah kebankrapan sebanyak 50 peratus, iaitu
pengurangan kira-kira 10,000 kes setahun.
"Pindaan itu juga dijangka melepaskan lebih kurang 50,000 bankrap yang
layak dilepaskan secara berperingkat-peringkat iaitu penjamin, bankrap
disahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai seorang yang dikategorikan
sebagai Orang Kurang Upaya dan bankrap yang disahkan pegawai perubatan
kerajaan," katanya.
INFO
* 23,036 orang berusia 25-34 tahun diisytihar bankrap sejak 2013-Ogos 2017
* 1,109 orang berusia 25 tahun ke bawah diisytihar bankrap (tempoh sama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan