HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 November 2017

‘Mangsa banjir tunggu 3 hari untuk tidur atas tilam jenama Najib’

 
Exco Pulau Pinang itu mempersoalkan Jabatan Kebajikan di Bedong, Kedah kenapa mereka kehabisan stok ketika banjir dan tidak diberikan sesen untuk mengisi semula bekalan.


Afif-Bahardin-tilam-najib-mangsa-banjir

GEORGE TOWN: Seorang exco Pulau Pinang mendakwa ketibaan bantuan untuk mangsa banjir kilat di negeri itu lewat 3 hari, seolah-olah sejajar lawatan perdana menteri.

Dr Afif Bahardin (PKR-Seberang Jaya) berkata, bantuan daripada Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) sebanyak “10 treler” yang membawa tilam dan bantal “dengan muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilekatkan padanya” tiba pada 7 November lalu.

Najib mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang pada 7 November lalu.

Afif berkata, ia mengejutkan apabila badan bukan kerajaan (NGO) seperti KP1M mampu menghantar bekalan sebanyak itu, sedangkan premis Jabatan Kebajikan di Bedong, Kedah “kehabisan stok” selepas banjir melanda Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Kedah.

Katanya, kerajaan negeri ketika mengubungi premis di Bedong itu memaklumkan mereka tidak diberi sebarang peruntukan untuk membeli bekalan.

“Selama 3 hari, semua mangsa banjir di pusat pemindahan di negeri itu tidur di atas lantai tanpa beralaskan apa-apa, hanya untuk menunggu bantal dan tilam dengan muka Najib di atasnya. Saya di sana, saya nampak sendiri.

“Persoalan saya, mengapa NGO atau sebuah kelab mempunyai lebih banyak peruntukan berbanding agensi kerajaan?

“Adakah pihak berkuasa kebajikan tahu akhir tahun ialah waktu bencana banjir dijangka berlaku?
Terutamanya pada November dan Disember?” soalnya ketika ucapan penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Afif berkata, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai KP1M harus menjelaskan apa yang dibawa 10 treler itu dan kelab itu mendapat dana dari mana.

Katanya, beliau menemui Azeez pada 7 November lalu dan dimaklumkan sebuah daripada 10 treler itu membawa tilam dan bantal, tetapi beliau tidak tahu muatan dalam 9 treler lain.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menegur Afif dengan berkata, KP1M ialah “NGO kerajaan” yang tampil membantu dengan niat baik.

“Sebuah NGO datang memberi sumbangan. Sama seperti Yayasan Tzu Chi. Tolong jangan buat tuduhan tidak berasas. Ini ialah ‘NGO kerajaan’.

“Untuk pengetahuan semua, Jabatan Kebajikan ialah perkhidmatan perkongsian antara kerajaan negeri dan pusat. Jika mereka kehabisan bekalan, kerajaan negeri patut memberi sedikit wang untuk mereka mengisi stok semula,” katanya.

Afif kemudiannya memberitahu Farid, Tzu Chi ialah badan tidak berkeuntungan yang tidak diketuai ahli Parlimen seperti KP1M.

“YB…sekurang-kurangnya Tzu Chi tidak mempunyai muka saya atau muka Guan Eng ditampal pada bantal dan tilam,” kata Afif menyebabkan dewan dipenuhi gelak tawa wakil rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh kemudian mencelah dengan berkata, pengisian semula stok untuk bantuan banjir adalah tanggungjawab kerajaan pusat.

“Dari September hingga November, kamu tahu ianya musim tengkujuh dan banjir memang dijangka. Tetapi untuk kamu mengatakan stok sudah habis adalah perkara tidak dapat diterima. Bagaimana kamu tidak tahu?

“Saya tidak mahu sebut nama, tetapi jelasnya seorang menteri persekutuan datang ke Pulau Pinang waktu banjir dan membawa barangan bernilai RM1 juta daripada pasar raya menggunakan wang tunai. Ya, wang tunai.

“Memalukan apabila mereka di Jabatan Kebajikan tidak dapat mengisi semula stok mereka.”

Tiada ulasan: