PUTRAJAYA: Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan supaya kerajaan menggubal
Akta Perdana Menteri atau meminda Akta Pencen Tunku Abdul Rahman 1971
yang pernah digunakan sebelum ini dengan meletakkan semua perdana
menteri negara di bawah akta berkenaan.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan itu berkata pada pandangannya, akta
berkenaan mampu memelihara institusi perdana menteri negara selain
mengelak isu politik, menentukan hak untuk bersuara dan perkara lain
yang kurang berfaedah kepada negara.
“Akta berkenaan dapat memberi penghormatan dan penilaian yang setimpal
kepada seseorang yang pernah memegang jawatan sebagai perdana menteri.
Akta berkenaan juga mungkin melibatkan pandangan mengenai seseorang yang
pernah memimpin untuk menjalani proses menjadi manusia biasa.
“Jangan kata mengata atau burukkan mana-mana pihak (selepas tidak
memegang jawatan). Mungkin akta berkenaan boleh libatkan timbalan
perdana menteri dan ketua setiausaha negara,” katanya ketika berucap
merasmikan Hari Terbuka Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menurutnya, Akta Pencen Tunku Abdul Rahman tidak pernah dihapuskan
sehingga ke hari ini kerana ia hanya eksklusif untuk Almarhum Tunku
Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1990.
Rais berkata beliau mengutarakan pandangan berhubung akta tersebut
sebagai seseorang yang berpengalaman berkhidmat di bawah lima perdana
menteri iaitu daripada Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah Datuk Seri
Najib Razak.
Beliau berkata pandangan itu akan dimajukan kepada Najib selepas ini.
“Terserahlah kepada perdana menteri untuk menentukannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan