GEORGETOWN – Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang hari ini mengakui kelemahan sistem perparitan negeri antara punca kejadian banjir yang melanda lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah di negeri ini sejak semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, sistem perparitan sedia ada di negeri ini sememangnya tidak mampu menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat.
Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara mencatatkan paras tertinggi iaitu 372 milimeter diikuti Seberang Perai Tengah (327 mm), Timur Laut (289 mm), Barat Daya (237 mm) dan Seberang Perai Selatan (165 mm).
Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat yang turun sejak 2 petang semalam di mana 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.
Setakat 2 petang tadi, sebanyak 51 pusat pemindahan telah dibuka di Pulau Pinang bagi menempatkan 2,861 mangsa banjir di lima daerah.
Cuaca di negeri ini masih mendung dengan sesekali hujan renyai. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan