HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Mei 2018

Ikhtiar Pendidikan Selaras Zaman

MALAYSIAKINI

   

Pendidikan adalah asas kepada pembangunan potensi warganegara. Ia memerlukan perancangan menyeluruh yang dinamik dan responsif kepada tuntutan zaman.

Bermula sekitar 2017, Revolusi Industri 4.0 menjadi istilah yang sering disebut-sebut di dalam media dan wacana umum.

Secara mudahnya, Revolusi Industri 4.0 adalah penggabungan alam siber dan fizikal yang hampir tidak akan melibatkan manusia secara langsung.

Kemunculan revolusi siber-fizikal ini mencakupi teknologi baharu seperti automasi, analisis data besar, dan aplikasi berasaskan awan.

Dalam hal ini, pendidikan rendah dan pendidikan tinggi adalah antara bidang utama yang tidak ketinggalan menerima kesan daripada perkembangan terbaru ini.

Cabarannya kini bukannya lagi menanti bilakah revolusi ini akan membadai sektor pendidikan negara. Namun, sepantas manakah ia akan mewarnai sistem pendidikan Malaysia.

Sekiranya cabaran yang rumit ini tidak diuruskan sebaik mungkin, ia boleh menyebabkan Malaysia ja­uh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Pada masa sama, mereka yang mendakap perubahan baru ini akan menerima ganjaran atas keberanian mereka. Sementara, mereka yang teragak-agak akan ketinggalan menjadi tidak relevan dengan keadaan semasa.

Menyedari keperluan ini, Dato’ Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional menawarkan pelan pendidikan untuk memperkasakan anak bangsa Malaysia agar mampu menghadapi persaingan dalam bidang kreativiti, daya fikiran dan kemahiran yang kompetitif dalam gelombang Revolusi Industri 4.0

Tawaran ini terkandung dalam Akujanji Kesembilan Manifesto Barisan Nasional yang dibentangkan pada 7 April 2018.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya juga ingin menyatakan bahawa akujanji kesembilan, kita akan pastikan sistem pendidikan kita sesuai dengan masa depan dalam konteks Revolusi Industri 4.0, untuk melahirkan lebih ramai lagi anak-anak yang mahir dalam bidang terbaru sebagai saintis data dalam bidang ICT dan sebagainya,” katanya sewaktu bercakap di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Di bawah akujanji ini, kerajaan BN menjamin bahawa 5 juta orang pelajar sekolah akan dilengkapi dengan kemahiran digital Revolusi Industri 4.0 dalam masa lima tahun.

Namun, jaminan ini bukanlah satu tawaran baru. Ikhtiar yang nyata telah pun bermula sebaik Bajet 2018 diluluskan di Parlimen pada Oktober 2017.

Menerusi bajet tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia diperuntukkan RM45.96 bilion sementara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pula menerima peruntukan RM13.89 bilion.

Secara khususnya, RM250 juta disalurkan untuk pendidikan generasi Transformasi Nasional 2050 yang merupakan satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Ia merangkumi penubuhan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memperkemaskan sukatan sains komputer termasuklah program coding dan menaiktaraf 2,000 kelas menjadi bilik darjah pintar untuk abad ke-21.

Di bawah akujanji ini, BN memberi jaminan untuk menaik taraf semua sekolah daif di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dan memadankan pelajar universiti dan bakal majikan di bawah Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M 2.0) dengan elaun bulanan RM2,000.

Semua universiti awam akan menerima kemudahan internet berkelajuan tinggi (500 Gbps) beserta pas pengangkutan awam TN50.

BN juga berjanji untuk mempertingkatkan kemahiran Bahasa Inggeris di sekolah melalui Program Dwibahasa (DLP), Program Imersif Tinggi (HIP) dan memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek perintis.

Ibu bapa yang mahukan pendidikan agama yang terbaik untuk anak-anak mereka juga boleh menarik nafas lega dengan jaminan buat masa depan anak-anak mereka.



BN berjanji untuk menubuhkan Universiti Al-Quran untuk melengkapkan lebih banyak graduan tahfiz dengan pelbagai kepakaran.

Sekolah-sekolah tahfiz juga akan dilengkapkan dengan sistem latihan kemahiran Giat MARA di samping menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada Universiti P. Ramlee.

Semua janji ini adalah cebisan kecil sahaja daripada cita-cita raya BN untuk memulakan pendidikan sesuai masa depan untuk Revolusi Industri 4.0

Cita-cita ini dibina di atas kejayaan-kejayaan sistem pendidikan Malaysia sebelum ini.

Menurut Laporan Quacquarelli Symonds (QS) University Ranking 2017/2018, kelima-lima universiti pendidikan Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah melonjak naik ke dalam kumpulan 300 universiti terbaik global.

Kelima-lima universiti ini tersenarai di antara satu peratus institusi pendidikan terbaik dunia.

Malah, taraf Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga ke kedudukan 114 dalam senarai universiti terbaik dunia dan diberikan geran penyelidikan dan pembangunan khas berjumlah RM400 juta dalam Bajet 2018.

Kini dalam Pilihan Raya Umum ke-14, BN sekali lagi memohon mandat rakyat yang jelas untuk meneruskan kecemerlangan dan komitmen kerajaan dalam bidang pendidikan.

Mandat yang dipohon ini adalah demi keamanan, kemakmuran, dan kesejahteraan negara kecil bernama Malaysia.

Bersama Barisan Nasional, hebatkan negara kita Malaysia.


Tiada ulasan: