SEPANG: Tindakan kerajaan negeri Selangor yang belum memberi kelulusan
terhadap permohonan tanah bagi pembangunan Projek Laluan Rel Pantai
Timur (ECRL), seolah-olah menidakkan kehendak rakyat untuk mengecapi
pembangunan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setakat hari
ini, kerajaan Selangor belum memulakan sebarang proses pengambilalihan
semula tanah bagi pembangunan projek berkenaan.
"Mereka (kerajaan Selangor) belum luluskan apa-apa lagi sedangkan kita
sudah banyak kali memohon agar disegerakan proses (pengambilan dan
kelulusan tanah) itu.
"Seperti semua tahu, kerajaan negeri kalau boleh semua benda ingin
dipolitikkan. Kalau dulu isu air dan pendidikan, sekarang ECRL pun
mereka mahu politikkan.
"Tindakan mereka seolah-olah mempertikaikan keikhlasan dan kehendak
rakyat untuk membangunkan sesuatu kawasan," katanya pada sidang media
selepas melawat Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan melambat-lambatkan proses kelulusan tanah itu
juga menjejaskan usaha Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan
infrastruktur mega kepada rakyat.
Menurutnya, beliau mahu pengundi di Selangor memberi kemenangan kepada
Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi
memastikan isu pengambilalihan tanah bagi projek ECRL dapat diselesaikan
segera.
"Beri peluang kepada kami (BN) dan kami janji akan tadbir Selangor dengan lebih baik," katanya dipetik BH Online.
Selangor kini satu-satunya negeri yang belum memberi kelulusan
permohonan tanah untuk pembangunan ECRL, sekali gus dibimbangi
menjejaskan pelaksanaan projek itu yang dijadualkan beroperasi pada
2024.
Setakat ini, pembangunan projek ECRL yang bermula sejak November lalu
itu hanya tertumpu kepada tanah milik kerajaan di Pahang, Kelantan dan
Terengganu yang sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri
masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri
Darwis Abdul Razak dalam kenyataan sebelum ini bertekad untuk terus
berusaha berbincang dengan Kerajaan Selangor supaya ia dapat
dimuktamadkan walaupun mungkin mengambil sedikit masa.
Pembinaan ECRL sepanjang 688 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri
pantai timur dengan fasa pertama membabitkan laluan landasan kereta api
elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan
jajaran sepanjang 531.6 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 68.7 km.
Mengikut perancangan, Selangor akan mempunyai laluan paling panjang iaitu 80 kilometer dari Gombak ke Pelabuhan Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan