TERINGAT mengenai
cerita tahun 90-an yang diceritakan sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul
Hadi (TGHH) sewaktu berbincang dengan beliau mengenai pemantapan Dokumen
WINS dan PITAS Terengganu pada akhir tahun lepas. Kesempatan sarapan
pagi, saya ambil untuk menanyakan pelbagai perkara dari hal sejarah
mengenai Necmecctin Erbakan dan perkembangan politik semasa melibatkan
Tun Mahathir yang sedang cuba menguasai Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Tun Mahathir dan Politik Negara
Tun Mahathir memainkan peranan dalam
landskap politik Malaysia sejak dari awal lagi, beliau bersama beberapa
Pimpinan Umno adalah berasal dari Saberkas seperti Senu Abdul Rahman.
Peranannya dalam landskap Politik Negara mula tertonjol apabila kalah
dalam PRU 1969 kepada calon PAS, Ustaz Yusuf Rawa di Parlimen Kota
Setar.
Sejak itu, beliau menyerang pucuk
pimpinan Umno terutama kepada Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri
yang pertama. Beliau menulis surat terbuka dan juga menulis buku yang
kemudian diharamkan ketika itu sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, The Malay Dilemma.
Ketika itulah, beliau berada di pentas
pembangkang dan waktu itu juga beliau bersama Dato Sri Anwar Ibrahim
yang memimpin Abim. Dipendek cerita, Tun Mahathir kembali kepada Umno
selepas Tun Abdul Razak Menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Beliau diangkat dalam Kabinet Tun Razak.
Selepas mencapai tujuan dan kedudukan
dalam Umno dan kerajaan, Tun Mahathir tidak berpaling ke belakang lagi.
Dalam politik Umno, beliau sentiasa berada di depan. menggantikan Tun
Hussein Onn, mengatasi Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan yang
terakhir tahun 1998, mengatasi ancaman Dato Sri Anwar Ibrahim.
Tok Guru dan Tun Mahathir
Selepas kemenangan PAS tahun 1990 di
Kelantan. PAS menjadi cabaran besar kepada Mahathir. Kerajaan BN
pimpinan beliau menekan Kerajaan Negeri Kelantan Pimpinan PAS dengan
pelbagai tekanan. Sehingga pada satu keadaan, ketika Umno tidak dapat
sokongan di peringkat Istana, Mahathir dan Umno merancang untuk
melucutkan kekebalan Raja-raja.
Maka, dipelawa kepada PAS untuk
menyokong di Parlimen oleh PAS. Tok Guru menyatakan keadaan ketika itu
agak mengelirukan kerana BN baru lepas mengalami kekalahan di Kelantan
dan Mahathir cuba mendapat kuasa Autonomi Eksekutif mutlak di peringkat
Parlimen dengan meminda Kuasa Raja-raja.
Walaupun ketika itu PAS tidak ramai
wakil ahli Parlimen, tetapi sokongan PAS adalah signifikan. Semangat 46
(S46) tidak menyokong tindakan Umno-BN kerana Pimpinan S46, Ku Li sangat
baik dengan Istana terutama Istana Kelantan.
Apabila PAS mengambil langkah
berkecuali, Tun Mahathir amat marah kepada Tuan Guru Haji Hadi dengan
tindakan tersebut. Dan dari sejarah itu, ternyata TGHH adalah antara
orang-orang politik yang tak dapat ditundukkan oleh Tun Mahathir. TGHH
bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Tokoh-tokoh PAS yang sangat memahami politik Mahathir dan memulangkan
rancangan Mahathir dengan bijak sekali.
Sememangnya, tindakan Mahathir atas nama
menolak kekebalan Raja-raja ketika itu, turut memonopoli kuasa Majlis
Keselamatan Negara, yang boleh isytihar darurat oleh Perdana Menteri
tanpa nasihat DYMM Agong sekiranya diperlukan. Kuasa yang terlalu tinggi
kepada Perdana Menteri tanpa imbangan yang seimbang.
Hari ini, Tokoh yang sentiasa tak dapat
dimakan oleh Mahathir adalah Tuan Guru Haji Hadi. Namun begitu, ketika
menjadi Perdana Menteri, TGHH tak nafikan sumbangan Mahathir kepada
negara. Malah, dalam kes yang cuba dicadang oleh Perdana Menteri Turki,
Necmettin Erbakan, Tun Mahathir antara yang menyambut untuk mewujudkan
Negara D8 tajaan Turki tersebut.
Pernah Erbakan memesan diberi buku
Biografi beliau kepada Mahathir melalui TGHH, tetapi TGHH memesan pula
pada pembantu Mahathir hadiah daripada Erbakan tersebut. TGHH sebut
kepada kami ketika itu, Mahathir lawan semua, yang penting dialah yang
Heronya. Kami gelak bersama-sama.
Esok lusa, pengundian PRU14, sekali lagi
Tun Mahathir memainkan peranannya tetapi di pihak pembangkang. Namun,
gerak langkah beliau sentiasa dibaca oleh kita, terutama Tok Guru
Presiden yang sudah masak dengan politik setengah abad Tun Mahathir.
Kita berada di pihak Gagasan Sejahtera,
untuk mengimbang keharmonian negara dengan Islam. Bersama Islam, tidak
akan merosakkan negara. Namun tolak Islam, menangguhkan Islam, pasti
akan memudaratkan kita dan juga negara.HARAKAHDAILY
*AHMAD HAKIMI OTHMAN ,Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan