HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Oktober 2018

KHALWAT: TUN M SOKONG, MUFTI BANTAH MUJAHID




Ketika umat islam menyatakan bantahan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya tampil mempertahankan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menghalang pihak berkuasa melakukan serbuan waktu malam bagi operasi khalwat.

Perdana Menteri berkata, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mencari kesalahan dan keaiban hingga menceroboh privasi orang lain

“Islam tidak suruh kita pergi cari orang, nak cari salah orang saja. (Islam) tak suruh.

“Sampai nak kerabat (panjat) masuk dalam rumah orang, itu bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Menambah Nilai Kehidupan dan Hubungan Komuniti di Petrosains di Kuala Lumpur, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mujahid yang berkata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat.




Bagaimanapun, tiga orang mufti terkemuka tanah air membantah kenyataan Mujahid yang dilihat memberi galakan untuk aktiviti maksiat berleluasa .

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata beliau terkejut dengan kenyataan Mujahid berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat.

Katanya, undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun dan sebagai seorang menteri, beliau (Mujahid) perlu lebih memahami mengenai undang-undang berkenaan.



Dalam pada itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad kecewa dengan dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu yang dilaporkan media bahawa tiada lagi tangkapan khalwat dilakukan pada waktu malam.

“Saya rasa Dr Mujahid sudah lupa asas perjuangan Islam. Dulu dia baik-baik saja, tak tahulah kenapa dia berubah sekarang.

“Jika dia lupa, saya ingatkan semula bahawa mencegah kemungkaran dituntut dalam agama. Ia bukan buatan ustaz-ustaz, individu mahupun Mujahid sendiri tetapi ketetapan Allah SWT,” jelas beliau.




Manakala, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata Mujahid tidak mempunyai kuasa mengarahkan pegawai penguatkuasa agama menghentikan operasi khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam di premis persendirian seperti rumah.

Katanya, kuasa sedemikian adalah terletak di bawah majlis agama di negeri masing-masing contohnya di Pahang ia membabitkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).


Tiada ulasan: