Oleh Siti Fatimah Ishak
Desakan JAG, Empower supaya undang-undang syariah
dikaji amat melampau

BANGI– Desakan dua pertubuhan liberal dan sekular supaya
kerajaan mengkaji semula undang-undang Islam, termasuk melaksanakan moratorium
terhadap hukuman sebat syariah, amat keterlaluan dan melampau.
Menyifatkan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi
Kesamarataan Gender (JAG) sebagai pertubuhan lupa daratan, aktivis kemanusiaan,
Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, inilah agenda liberal tajaan Barat
yang menggunakan ‘moderate muslim’ sebagai ejen mereka.
“Mereka sudah melampau. Setiap hari ada sahaja hak
istimewa agama Islam dan bangsa Melayu ditarik satu demi satu.
“Mereka sepatutnya menghormati kedudukan Islam
sebagai agama Persekutuan telah pun termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak
daripada merdeka lagi.
“Tindakan mereka ini bakal mengundang rasa marah
yang tidak terhingga di kalangan umat Islam di seluruh negara,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas desakan JAG agar
kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan moratorium terhadap hukuman sebatan
syariah.
Pertubuhan liberal itu menganggap hukuman syariah
bakal menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN).
JAG juga menyerahkan memorandum kepada Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mengesa
hukuman sebat dan bentuk lain yang mendera dihentikan atas semua kesalahan.
Pada masa sama, ahli Persatuan Kesedaran Komuniti
Selangor (Empower), Honey Tan, mendesak supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 dipinda atau dimansuhkan, kerana katanya, jika Parlimen
boleh meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah maka Parlimen juga boleh
mengurangkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan