Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz meminta calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang menabur janji akan memperjuangkan pembinaan hospital di kawasan terbabit untuk melawat tapak pembinaan yang telah sedia ada.
Johan berkata janji Aiman merupakan satu janji palsu kerana hospital yang ingin diperjuangkan itu telahpun diluluskan pembinaannya oleh kerajaan lama Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Ke 14 (PRU-14) lalu.
“Janji manis calon PH Aiman ialah untuk membina hospital Semenyih. Saya rasa ini janji palsu lagilah kerana tapak sudah ada.
“Kenapa saya cakap janji palsu sebab Datuk Seri Najib Tun Razak seminggu sebelum bubar Parlimen semasa PRU-14 dalam bulan empat telah meluluskan RM300 juta untuk tujuan ini di Sungai Jelok, waktu itu Sungai Jelok dalam DUN Kajang.
“Saya telah memohon untuk pembinaan atau naik taraf hospital. Saya minta Aiman silalah melawat ke tapak pembinaan di Sungai Jelok, belakang Kajang High School,” katanya kepada media pada Rabu.
Katanya rakyat Semenyih diharap jangan terpedaya dengan satu lagi janji palsu yang sedang ditabur PH bagi mengaburi mata pengundi.
“Pembinaan wad bersalin dan kanak-kanak akan dipindahkan dari Hospital Kajang ke Semenyih. Jadi, ini salah satu lagi janji palsu dan rakyat Semenyih akan ‘kena kencing’ lagi dengan calon PH,” katanya.
PRK Semenyih yang berlangsung pada 2 Mac ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon PH; Muhammad Aiman Zanali yang merupakan Bendahari PPBM Hulu Langat, dan calon BN, Zakaria Hanafi yang juga merupakan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi.
Manakala dua lagi calon ialah Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan