Wallahi, wabillahi, watallahi - itu sumpah dilafaz Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Mohd Rizon ketika menafikan tuduhan terbabit dalam politik serta berkempen untuk BN baru-baru ini.
Bercakap kepada Malaysiakini petang tadi, Mohd Rizon berkata, beliau tidak pernah menggunakan institusi pendidikan tersebut sebagai tempat kegiatan politik parti.
Katanya, beberapa gambar tular yang menunjukkan beliau memakai baju-T tertera tulisan BN juga tiada kaitan dengan politik di pusat pengajian tinggi itu.
“Itu baju basahan bagi orang macam saya. Sebagai penjawat awam mana boleh berkempen dalam premis kerajaan.
“Gambar itu dirakam ketika saya sedang melihat persiapan konsert Simfoni Diraja yang akan dihadiri oleh raja muda Perlis dan sultanah Terengganu," katanya.
Kecewa dengan tuduhan terhadapnya, Mohd Rizon berkata, beliau menjadi mangsa fitnah semata-mata.
“Mereka kata saya berkempen, ya Allah jahatnya. Teruknya fitnah zaman sekarang,” tambah beliau.
Hari ini Malaysiakini menyiarkan laporan sekumpulan alumni Aswara melancarkan kempen dalam talian untuk mengumpul sokongan bagi mendesak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menamatkan khidmat Mohd Rizon.
Ada beberapa dakwaan dilemparkan mereka antaranya, salah guna kuasa dan Mohd Rizon menggunakan Aswara sebagai pusat aktiviti berpolitik.
Kes mahkamah melibatkan Mohd Rizon juga dijadikan alasan untuk mereka mendesak supaya beliau digantikan.
Tak ada kuasa tamatkan pensyarah
Sebaliknya, menurut beliau yang fasih berbahasa Inggeris dan Jepun itu, proses pelantikan seseorang pensyarah di Aswara melibatkan banyak pihak termasuk dekan dan jawatankuasa sumber manusia Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Katanya, hal yang sama juga berlaku untuk proses penamatan khidmat seseorang pensyarah.
“Rektor tak ada kuasa dia cuma salah seorang ahli saja dalam jawatankuasa tu,” katanya.
Pemilik
ijazah doktor falsafah dalam bidang animasi komputer dari Universiti
Oita, Jepun itu menambah beliau tidak boleh disalahkan sekiranya ada
pensyarah berjawatan tetap ditamatkan perkhidmatan.
“Saya tak terlibat dalam jawatankuasa tatatertib yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian.
“Di sana ada peguam, wakil lembaga pengarah, wakil Jabatan Sumber Manusia Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan pendaftar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan