SAYA berteleku
memerhatikan pengorbanan yang dibuat oleh penyokong PAS tegar untuk
mengundi Barisan Nasional. Bagi orang biasa mungkin mereka tidak merasa
apa-apa apabila mengundi mana-mana calon. Yang penting siapa yang dia
rasa baik, maka dia akan pangkah.
Ada sesetengahnya juga memangkah dengan sebab yang mudah seperti siapa yang paling banyak muncul dalam newsfeed Facebooknya
dia pangkah, siapa yang dia rasa bendera penyokong nampak lebih banyak
di luar pusat mengundi, dia akan pangkah parti tersebut dan macam-macam
sebab lagi. Malah ada yang memilih untuk tidak mahu mengundi kerana bagi
mereka, undi siapa pun sama sahaja.
Tetapi bagi penyokong tegar, mengundi
adalah satu ibadah yang sangat besar, biarpun tidak menang tetapi
sekurang-kurangnya mereka sudah menggunakan kuasa di tangan mereka untuk
usaha menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Bukan semua orang boleh
memahami perasaan ini, tetapi saya sebagai orang yang sudah lama
terdidik dengan tarbiah ini semenjak kecil, saya sangat memahami
perasaan ini. Sesetengah orang merasakan ini bahana indoktrinisasi dan
melabelkan sebagai fanatik. Sebaliknya kami tidak pernah terasa dipaksa.
Ianya subur hasil didikan dan pilihan kami setelah memahami setiap
Talaqqi yang kami dapati dari pemimpin dan orang tua kami. Saya pasti
sahabat daripada parti PAN juga memahami perasaan ini walaupun mungkin
mereka menafikannya. Oleh sebab itu saya memahami mengapa mereka memilih
untuk berjuang di dalam parti lain untuk menegakkan agama Allah. Namun
saya sejak dahulu, apabila diajak menyertai kepimpinan Umno mahupun PAN,
saya lebih yakin untuk bersama PAS dulu kini dan selamanya insyaAllah.
Adakah saya fanatik? PAS juga adalah sebuah parti politik aliran
demokrasi yang meletakkan perjuangan Islam sebagai asas dan ijtihad saya
meyakini jalan ini.
Umno di luar politik adalah sahabat tetapi mereka menjadi musuh yang lama dalam dunia politik. Pernah berta'awun, pernah bertahaluf,
pernah juga bermusuh sampai ke tulang hitam. Hubungan PAS dan Umno
penuh dengan perasaan manis bercampur pahit lagi membusung di dalam
dada. Saya tersenyum apabila ada yang menuduh PAS sebagai lebai bisu
apabila berdepan isu 1MDB dan lain-lain. Mereka ini hilang ingatan
ataupun pura-pura tidak cerdik? Hal ini kerana kawasan yang banyak
dimenangi PAS dalam PRU14 ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah
masih lagi mengekalkan pertembungan musuh tradisi PAS dan Umno walaupun
pada awalnya seakan rakan-rakan PH ingin menggugat tetapi ternyata
mereka tidak diterima oleh sebahagian besar rakyat di kawasan tersebut.
Agak-agaknya isu apa yang PAS gunakan untuk menumbangkan lawan tradisi
kami?
Ironinya, perubahan kerajaan di
Persekutuan dan pendekatan barisan kepimpinan baharu yang penuh
kontroversi, kurang berpengalaman, pelaksanaan tuntutan hak yang tidak
seimbang, sambil lewa berjanji dan tidak pasti ingin menunaikannya atau
tidak, kenyataan tergopoh gapah, isu rasisme yang diangkat secara
persepsi telah menyebabkan semua rakyat Malaysia berhenti sekejap dan
berfikir sejenak. Sehingga akhirnya, penyokong tegar terpaksa keluar
dari kepompong dan berfikir di luar kotak yang pastinya mengundang
kegelisahan yang memeritkan terutamanya bagi orang muda seperti saya
yang ketika berlaku peristiwa besar perpecahan PAS 1978, saya masih
dalam perut ibu. Kami tidak biasa dengan praktis ijtihad yang
menyongsang horizontal walaupun semuanya demi kelangsungan Islam.
Mujurlah kami diajar wala'
kepada pimpinan dan kami penuh yakin dengan konsep syura yang ada,
setiap keputusan sudah melalui sistem penapisan spiritual mahupun ruhiyah.
Walaupun bagi orang lain, ia hanyalah
satu undi dan ada juga bertepuk tangan kerana akhirnya PAS bekerjasama
dengan Umno telah membenarkan dakwaan mereka selama ini. Biar orang Umno
bergabung dengan PPBM atau PKR tetapi jangan sesekali dengan PAS.
Tetapi bagi setiap penyokong tegar PAS dalam PRK kali ini, tugasan ini
dilakukan dengan penuh linangan air mata kerana terpaksa berkorban
perjuangan dan perasaan hanya kerana untuk maksud yang satu sahaja iaitu
menegakkan kuasa Islam walaupun di hati hanya Allah yang mengetahui
kocakan yang berlaku.
Wahai penyokong dan pendukung PAS,
marilah kita teruskan munajat dan tarbiah kita kerana ke depan kita
harus menghadapi setiap situasi dengan penuh kesabaran, bertenang,
istiqamah, kreatif, ilmu dan kefahaman yang jelas dan moga-moga ada
hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah pasti akan mengilhamkan jalan keluar.
Hanya Allah yang mengetahui masa lepas,
masa sedang dan masa depan. Yang pastinya hikmah Islam memimpin yang
harus diutamakan dalam arus perubahan kali ini. Yang lainnya kita
serahlah pada Allah. Demi Islam kami sanggup terima semua sahabat kami
sama ada Umno, PAN, PKR, Bersatu mahupun yang lain asalkan Islam
memimpin.
Coretan ini hanya untuk ahli PAS sahaja.
ASMAK HUSIN, Ahli Dewan Negara
* Seusai keputusan PRK CH
- HARAKAHDAILY
* Seusai keputusan PRK CH
- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan