PONTIAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha menambah elaun sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM300 jika kewangan kerajaan mengizinkan tahun depan.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, peningkatan elaun sara hidup itu hanya akan dilakukan sekiranya ekonomi negara pulih dan bertambah baik dan beliau akan terus memperjuangkan elaun sara hidup nelayan agar dinaikkan.
“Jika ekonomi pulih tahun depan, saya usahakan untuk beri elaun sara hidup nelayan RM300 sebulan,” katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas program pelepasan 20,000
benih ketam renjung di Jeti Pengkalan Penghulu Mukim Serkat di sini hari
ini.
Program tersebut merupakan kerjasama
strategik International Institute of Aquatic Sciences (I-Aquas) dengan
Universiti Putra Malaysia (UPM).
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi dan Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Zamani Omar.
Dalam
pada itu, Salahuddin berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat
bersama Jabatan Perikanan bagi mewujudkan pas nelayan sementara.
Menurutnya,
pengenalan pas itu bertujuan membantu mereka yang aktif ke laut
menangkap ikan sebagai sumber pendapatan namun tidak mempunyai lesen
nelayan atas faktor tertentu.
“Walau
bagaimanapun, mereka yang memiliki pas sementara tidak akan memperoleh
keistimewaan seperti nelayan yang memiliki lesen. Mereka tidak mendapat
elaun sara hidup dan subsidi petrol,” katanya.
Mengulas
mengenai benih ketam renjung yang dilepaskan, beliau berkata hasilnya
dijangka dapat dituai dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.
Mengikut
data pendaratan ketam renjung di Johor adalah sebanyak 1,800 tan metrik
setahun di mana kebanyakannya dinaikkan di Johor Barat dan Pontian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan