MALAYSIAKINI
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengulas kenyataan
bekas perdana menteri Najib Razak yang berkata kedudukan Malaysia dalam
Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
merosot teruk kerana rakyat ditipu kerajaan PH.
Pemimpin
Amanah itu mengucapkan terima kasih kepada Najib yang sedang berhadapan
pertuduhan di mahkamah berkaitan skandal 1MDB kerana berminat dengan isu
tersebut, berkata bekas perdana menteri mungkin menjadi penyumbang
utama terhadap kemerosotoan indeks kebahagaian.
Pada hantaran Facebook hari ini, Najib menyindir Khalid atas ucapannya semalam yang memuji kedudukan Malaysia di tangga ke-35 Indeks Kebahagiaan 2018.
MP Pekan berkata beberapa jam selepas ucapan menteri itu, Indeks 2019 mendedahkan Malaysia menjunam jatuh ke tangga ke-80.
Tinjauan tiga tahun
Menurut
laporan PBB, dapatan pada tahun 2019 itu berdasarkan tinjauan selama
tiga tahun dari 2016 hingga 2018, ketika Najib masih lagi menjadi
perdana menteri.
Khalid juga berkata "skandal Najib mula
difahami" ketika laporan 2018 yang mengambil kira tinjauan dari 2015,
2016 dan 2017 diterbitkan.
"Pada tempoh separuh pertama tahun 2018, rakyat memang tidak gembira. Itu sebabnya mereka membuang Najib (pada PRU14).
"Tempoh separuh kedua 2018 juga sukar. Sebahagian orang gembira kerana Najib tidak lagi menjadi perdana menteri, manakala sebahagian lain susah hati atas sebab yang sama.
"Orang ramai merasakan Malaysia masih belum pasti arah tujuannya. Banyak projek yang dihentikan kerana disemak semula pentadbiran baru," katanya lagi.
Menurut Khalid orang ramai umumnya merasa sedih kerana kesan pentadbiran terdahulu mula disedari.
Menteri menjelaskan ketika berucap semalam beliau tidak mengumumkan hasil bagi tahun 2019, lantaran itu beliau tidak menyentuh masalah yang dihadapi ketika tempoh peralihan.
"Bagaimanapun saya yakin ia akan diselesaikan dan kedudukan kami akan bertambah baik apabila kami dapat membetulkan keadaan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan