Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin yang cuba mengaitkan pembunuhan lebih 40 orang umat Islam di New Zealand kepada implikasi yang berlaku di negara ini sekiranya UMNO-PAS bekerjasama adalah sangat keterlaluan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata selain bertujuan untuk menghasut, kenyataan itu seolah olah menyeru masyarakat bukan Islam di negara ini untuk melihat PAS dan UMNO sebagai musuh atau “entiti yang harus mereka waspadai.
Malah beliau berkata kerjasama UMNO-PAS turut ditegaskan sebelum ini bahawa tidak sesekali akan mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.
“Kenyataan itu jelas menunjukkan watak sebenar DAP yang sering memainkan sentimen rasis dan agama, walaupun banyak kali kepimpinan mereka cuba menafikannya.
“Kita meminta Chew menarik balik kenyataan itu. Sepatutnya kita di seluruh dunia tanpa mengira apa latarbelakang mestilah bersimpati dengan kejadian 49 orang individu yang terbunuh di Christchurch itu, dan bukannya mempolitikkan tragedi itu” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
“Adalah sangat tidak waras untuk mengaitkan kerjasama PAS dan UMNO kepada pembunuhan umat Islam di New Zealand kerana budaya, iklim politik dan cara hidup di sana adalah tidak sama dengan masyarakat di Malaysia. Lagi pun, pembunuhnya ialah rakyat negara lain dan pembunuh itu pun bukannya ahli parti PAS atau UMNO.
“Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia berdukacita dengan kejadian yang berlaku, bukannya mengambil kesempatan bagi mengapi-apikan pergaduhan kaum.
“Tindakan individu seperti Chew inilah yang boleh mendatangkan imej buruk kepada nama Malaysia di dunia antarabangsa”, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan