Saban tahun fenomena pemain bola sepak
tidak dibayar gaji dan masalah kewangan persatuan bola sepak
berulang, seterusnya memalukan arena sukan khususnya bagi bola sepak
di persada antarabangsa.
Ia jelas bukan sahaja senario yang
dibenci kesemua pemain, jurulatih, penyokong, peminat luar, malah
pasukan-pasukan bertanding, kerana ia memberi gambaran buruk terhadap
imej liga selain merencatkan perjalanannya jika saingan telah pun
bermula.
Amat mendukacitakan apabila penceritaan
di atas mencerminkan ‘ekosistem’ kancah liga nombor satu negara,
Liga Malaysia (Liga-M) yang meskipun berstatus profesional sejak
lebih 20 tahun lepas, namun setiap musim peminat disajikan dengan
masalah kewangan pasukan bertanding.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata setiap pasukan harus
mengamalkan budaya ‘mengukur baju di badan sendiri’ dalam hal
ehwal kewangan terutama apabila melibatkan urusan pembelian pemain
selain penetapan jumlah gaji pemain.
“Faktor kewangan adalah kriteria
utama buat pasukan yang bersaing dalam Liga-M. Bila pengurusan bijak
dalam menguruskan kewangan, perkara sebegini (isu kewangan dan
tunggakan gaji) tidak akan timbul dan lebih penting masa depan pemain
dan pegawai terbela," katanya kepada Bernama.
Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal
Ahmad Rakhli mencadangkan pasukan mengalihkan tumpuan terhadap
kumpulan pemain pelapis untuk mengurangkan bebanan pembayaran gaji.
Selain penawaran gaji lebih rendah dan
kelebihan prestasi dimiliki pemain muda masa kini, Akmal Rizal, 37,
berkata langkah itu juga dapat membuka peluang pasukan menjana
kewangan pada jendela perpindahan sekiranya pemain itu berjaya
menarik minat pasukan lain.
"Kalau ikutkan nak bentuk sebuah
pasukan mantap memang perlu kewangan yang kukuh tetapi jika tidak,
janganlah berbelanja melebihi kemampuan. Kalau rasa tidak mampu beli
pemain bintang dan bayar gaji tinggi, gunakan khidmat pemain muda
yang berpotensi besar untuk menyerlah.
"Walaupun langkah itu mungkin
menjejaskan prestasi pasukan 2 hingga 3 tahun pertama, apabila pemain
sudah matang hasilnya akan dapat dilihat dan pasukan juga boleh
menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan pemain," jelas
pemain yang membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010 itu.

Legenda bola sepak negara era 80-an,
Datuk Hassan Sani pula berkata untuk mengatasi masalah ini daripada
berlaku saban musim, Malaysian Football League (MFL) sebagai badan
pengelola Liga-M perlu bertindak dengan tegas.
“Bertegas dan memberi hukuman itu
tindakan yang betul kerana ia boleh jadi satu pengajaran berguna
untuk semua supaya tidak mengulangi kesilapan sama, namun dalam
ketegasan tidak salah bertolak ansur.
“MFL sudah lakukan yang terbaik untuk
semua pasukan termasuk memberi tempoh untuk selesaikan masalah itu.
Cuma, pasukan harus lah hargai usaha itu dan bukannya mengambil
kesempatan,” jelas Hassan yang membantu Malaysia menjuarai
Pestabola Merdeka 1979 dan 1986.
Saingan Liga-M beberapa tahun
kebelakangan ini sering menyaksikan segelintir pasukan bertanding
mengalami masalah berkaitan dana sekali gus bergelut untuk menyiapkan
pasukan terbaik untuk menghadapi saingan liga.
Betapa tidak isu ini memalukan negara
kerana hampir semua pasukan yang bertanding menggunakan khidmat
pemain import dan reputasi bola sepak Malaysia akan menerima kesan
buruk selain pemain import mungkin memilih untuk tidak datang ke
negara ini bermain sekiranya isu ini terus berulang.
Meskipun pelbagai tindakan dan nasihat
diberikan, masih terdapat pasukan yang berdepan masalah tersebut dan
ia dibuktikan apabila baru-baru ini MFL mendedahkan dan mengarahkan
tujuh pasukan bermasalah dari segi tunggakan gaji pemain supaya
mengemukakan status kewangan pasukan.
Sehubungan dengan itu, Mohd Yusoff yang
juga Ahli Lembaga Pengarah MFL berharap isu kewangan dihadapi pasukan
dapat diatasi secara total apabila peraturan kawalan ekonomi seperti
dipraktikkan oleh La Liga mula dilaksanakan dalam saingan Liga-M
musim hadapan.
"Sesetengah pasukan buat bajet
berdasarkan perjanjian secara lisan dengan penaja...tiada hitam
putih.
Apabila penaja lari, habis lah mereka (pasukan). Jadi dengan
peraturan kawalan ekonomi ini, MFL akan menilai secara terperinci
segala dokumen kewangan sebelum menentukan had perbelanjaan sesebuah
pasukan itu.
"Kita tidak mahu perkara ini
berulang lagi setiap musim kerana ia akan merosakkan liga dan mungkin
menjejaskan daya tarikan Liga-M dan secara tidak langsung
mengakibatkan pemain-pemain import hilang keyakinan terhadap pasukan
tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal Rizal berkata
jika Liga-M terus didatangi pasukan bermasalah dari segi kewangan ia
akan memburukkan imej FAM dan MFL yang kini berusaha keras dalam
mengembalikan semula kegemilangan arena bola sepak negara.
"Nama Liga-M gah di rantau Asia
Tenggara kerana kemampuan sesetengah pasukan membayar gaji tinggi
kepada pemain tetapi pada masa yang sama ada pula 2 atau 3 pasukan
terpaksa digugurkan daripada liga akibat masalah kewangan. Ia
ternyata memburukkan imej bola sepak negara," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan