ULASAN | Hari ini 23
March 2019 rakyat Malaysia telah mengadakan himpunan untuk keamanan di
Dataran Merdeka. Semalam solat Jumaat di Christchurch New Zealand yang
di hadhiri oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan ribuan
rakyat untuk juga mengingati kematian 50 saudara Islam di siarkan secara
langsung ke banyak negara.
Kehadiran ketua agama Kristian, Buddha, Sikh dan lain-lain menunjukkan solidariti padu bersama rakyat beragama Islam.
Kehadiran duta New Zealand bersama duta Australia dan Turki menambahkan lagi persepakatan jitu antarabangsa menentang keganasan.
Kehilangan adik Muhammad Haziq Mohd Tarmiz dari Malaysia yang hanya berusia 17 tahun dan kecederaan tiga lagi rakyat kita lebih menyedarkan rakyat Malaysia realiti nasib golongan minoriti.
Tangani isu ektremis dengan serius
Kalau dahulu kita mendengar dan gusar nasib minoriti Islam di Perancis, Amerika Syarikat dan negara Eropah lain, yang tertindas, kini di New Zealand yang begitu aman kita di gemparkan pembunuhan 50 orang Islam dalam Masjid.
Reaksi rakyat New Zealand lain tragedi ke atas komuniti Islam yang hanya satu peratus dari penduduk New Zealand amat luar biasa dan terpuji yang patut dicontohi oleh semua.
Mereka bukan hanya datang dan membenarkan azan berkumandang di masjid semasa solat Jumaat semasa pengkebumian mangsa, tetapi wanita mereka datang dengan bertudung menghormati agama kita.
Ribuan membanjiri majlis pengkebumian dengan menunjuk penuh kehormatan.
Satu peratus rakyat New Zealand beragama Islam menjadi
rakyat contoh selama ini. Mereka telah menunjukkan akhlak yang mulia dan
terpuji kepada New Zealand.
Itulah cara golongan minoriti Islam dilayan dalam waktu mereka dilanda musibah yang tragis di New Zealand. Mungkin ada sesuatu yang Malaysia boleh pelajari dari tragedi bedarah ini.
Golongan majoriti di Malaysia patut mengambil sikap lebih bertanggung jawab terhadap apa jua masalah yang di hadapi dengan kaum minoriti di sini jika ada.
Kita memiliki begitu banyak undang undang, termasuk untuk
raja-raja kita sendiri, untuk menangani berbagai masalah sehingga ada
yang menganggap kita mempunyai terlalu banyak undang undang "over regulated!"
Kes mahkamah berprofil tinggi Najib Razak telah menunjukkan mahkamah hari ini memberi seluas luas ruang untuk keadilan sehinggakan peguam yang tercedera tangan kerana anjing peliharaannya pun di beri penangguhan kes.
Kalau ada golongan minoriti tertentu membuat kesalahan atau kesilapan, gunakanlah saluran perundangan yang ada terhadap pihak berkenaan sahaja tetapi janganlah membuat tuduhan umum terbuka secara melulu keseluruhan golongan tertentu adalah kafir harbi, pendatang dan sebagainya.
Begitu juga sebaliknya kalau golongan majoriti jika melakukan kesalahan tertentu.
Guna internet sebar kebencian
Aduan boleh dibuat kepada majlis agama Islam di bawah kuasa Raja-Raja Melayu tanpa campur tangan politik atau juga melalui Jakim.
Tuduhan tidak berasas ini amat merbahaya kerana melalui media sosial - internet, ia boleh disebar luas dan cepat membakar kebencian dan kemarahan tidak terkawal dengan akibat yang padah.
Pembunuh 50 umat Islam di New Zealand telah menggunakan internet sebagai utusan untuk menyebar kebencian secara meluas dan juga menyiarkan pembunuhan kejam secara lintas langsung yang mendapat sokongan pihak pelampau.
Tidak perlu dan adalah salah kalau kita menjatuhkan hukuman
melulu kepada mana mana golongan baik minoriti atau sesama Islam sendiri
kerana kita lebih mencukupi undang-undang yang sedia ada hari ini.
Kepentingan politik yang cenderung kepada isu keagamaan dan kaumlah punca masalah utama kita di Malaysia hari ini.
Saya sebagai pengerusi Biro Antarabangsa - Amanah sempat mengucap terima kasih kepada duta New Zealand, saudara Hunter Nottage (gambar, tengah), atas layanan baik Perdana Menteri serta rakyat New Zealand kepada mangsa dan keluarga mangsa.
Beliau
tersentuh dengan logo di baju saya pakai hari ini yang berbentuk daun
simbol dari New Zealand yang direkabentuk dari gambar jemaah yang sedang
solat.
Kalau rakyat dua negara dari dua agama berlainan boleh mencari titik pertemuan untuk persaudaraan dalam tragedi yang menyayat hati, kenapa tidak rakyat dari suatu negara yang sama yang sudah berpuluh tahun memahami agama satu antara lain di Malaysia ?
Marilah kita mencari titik persamaan yang positif sesama kita dan bukan perbezaan.
Kita hanya mempunyai satu negara yang di kenali sebagai Malaysia untuk anak serta cucu cicit kita seperti Haziq, yang telah terkorban di usia 17 tahun, untuk mewarisinya bagi generasi akan datang, insyaallah.
RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan