
“SAYA
terasa badan amat berat, namun teruskan usaha menghantar pesakit
terutama pelajar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum akhirnya rebah
dan tidak sedarkan diri,” kata Mohd Fariz Anuar, 43.
Beliau
adalah pemandu ambulans yang kritikal selepas membantu menyelamatkan
lebih 30 pelajar dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang sakit akibat
pencemaran Sungai Kim Kim, 7 Mac lalu.
Menurutnya,
sebelum rebah dia sudah dua kali berulang alik ke sekolah dan HSI untuk
menghantar murid dan pelajar terbabit mendapatkan rawatan dan ketika
kali ketiga iaitu mahu menghantar pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS),
dia tidak dapat bertahan lagi.
“Saya rebah di pintu masuk wad kecemasan HSI selepas berulang alik sejauh kira-kira 42 kilometer dari lokasi kejadian ke HSI.
“Ketika penghantaran terakhir, saya terasa diri amat berat namun cuba gagahkan diri hingga ke hospital dan membantu pesakit.
“Selesai
menurunkan pesakit, saya tidak boleh lagi melawan kesakitan akibat
pencemaran dan terus pengsan. Saya tidak sedarkan diri selama empat hari
dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum sedar pada hari kelima
ketika dirawat di wad biasa.
“Akibat
kejadian itu saya terpaksa mendapatkan rawatan di HSI selama sembilan
hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat dengan cuti sakit
tamat pada 24 Mac ini,” katanya ketika diziarahi Timbalan Menteri
Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah
Munirah Majilis dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr Azhar
Yahya di rumah ibu saudaranya di Kampung Paya, Kluang, hari ini.
Mohd Fariz berkata, sejak bertugas sebagai pemandu ambulans selama 24 tahun, dia tidak pernah cedera ketika memberikan bantuan.
Menurutnya, ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia pada mulanya beranggapan ia kes keracunan makanan.
“Pada mulanya kami beranggapan ia kes keracunan makanan sebaliknya bagaikan malapetaka terbesar kepada penduduk Pasir Gudang.
“Saya bersyukur berkat doa semua rakyat Johor, saya kembali sihat walaupun selama empat hari berada di ambang kematian.
“Insya-Allah, saya yakin boleh kembali bertugas seperti biasa tidak lama lagi.
“Saya
berharap pihak berkuasa mengambil masa untuk menjalankan siasatan bagi
memastikan dalang kejadian itu tidak terlepas dari hukuman,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan