HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mac 2019

Persatuan kakitangan akademik UM sedih naib canselor tak bela mahasiswa

MALAYSIAKINI

   

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) hari ini menyatakan kesedihannya atas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Abdul Rahim Hashim yang menurut mereka tidak melindungi kebebasan bersuara, susulan pergelutan antara penyokong bekas perdana menteri Najib Razak dan pelajar universiti itu Jumaat lalu lalu.

"Kami sedih kerana Naib Canselor UM yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung utama kebebasan bersuara orang cerdik pandai berpandangan sebaliknya.

"Bagaimanapun kami ingin menyuarakan sokongan ke atas kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menegakkan kebenaran dan mengutuk keganasan yang berlaku ke atas para pelajar UM," kata setiausaha PKAUM Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada justifikasi undang-undang bagi menghalang mana-mana pihak berkumpul secara aman dan menyatakan pendirian, dan sebarang bentuk keganasan terhadap mereka perlu ditolak.

UM dalam kenyataannya Sabtu lalu berkata pihaknya membantah sebarang tindakan provokasi lisan mahupun visual yang dilakukan pelajar mahupun penyokong Najib.

Kenyataan itu juga memetik Abdul Rahim sebagai berkata beliau berharap kedua-dua pihak "lebih matang dalam bertindak pada masa hadapan tanpa menggunakan keganasan".

Maszlee kemudian menegur kenyataan itu dengan berkata universiti tidak wajar mengambil "sikap tidak jelas" dan "jalan selamat" dan sepatutnya sentiasa mendukung kebebasan mahasiswa selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.
Sementara itu, kumpulan pelajar UM berkata Abdul Rahim tidak boleh menyifatkan sepanduk karikatur Najib berwajah badut sebagai provokasi memandangkan imej.

Dalam kenyataan bersama, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Angkatan Mahasiswa UM and Demokrat UM berkata penggunaan imej berunsur sindiran dalam mana-mana bentuk - termasuk filem dan ilustrasi - telah menjadi kebiasaan dan diterima sebagai cara kritikan yang wajar di seluruh dunia.

"Karikatur itu (badut) diketahui telah digunakan sekian lama. Tujuh mahasiswa yang berhimpuan secara aman dan tidak melemparkan kata-kata buruk ketika itu," katanya lagi.

Dengan mengatakan hak bersuara mahasiswa tidak boleh melebihi lingkungan yang ditetapkan undang-undang, kata mereka, Abdul Rahim juga secara tidak langsung membayangkan mahasiswa yang terlibat telah melanggar undang-undang.

Dalam kejadian Jumaat lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dengan beberapa penyokong Najib Razak ketika program santai bekas perdana menteri itu di sebuah restoran dekat UM sedang berlangusng.

Pelajar tersebut berdiri di seberang jalan berhampiran tempat program dan memegang plakad yang antara lain tertera perkataan "Najib Tak Malu" dan "Pulangkan Duit Rakyat", selain karikatur menyindir Najib berwajah badut.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan.


Tiada ulasan: