POLITIK merupakan salah
satu segmen sebuah kehidupan yang saling berkait di antara kita.
Benarkah ramai yang beranggapan bahawa politik itu kotor dan sewajarnya
kita tidak terlibat langsung? Sedangkan politik itu penting mencakupi
pelbagai sudut perjalanan seharian kita. Kelihatan kotor itu bukan
politik tetapi ahli politik yang meletakkan kepentingan tertentu yang
utama.
Pelbagai episod pendedahan terbuka atau
konspirasi terancang atau kini dikenali sebagai fitnah rantaian semakin
merebak dalam masyarakat kita. Budaya Yahudi ini mula menular di
kalangan kita sejak akhir-akhir ini. Namun dari sudut pandang tertentu,
hikmahnya untuk kita bermuhasabah dan kembali menilai keterlibatan kita
sama ada secara langsung atau tidak langsung (termasuk mereka yang
langsung tidak mempedulikannya selama ini) melalui konteks politik
Islam.
Media massa kini menjadi komponen dan
platform penting komunikasi di kalangan masyarakat. Sama ada fakta atau
auta, ianya berlegar-legar dengan pantas dan pelbagai penerimaan itulah
seni politik dalam penyampaian. Namun hari ini, ada pihak yang tidak
bertanggungjawab mewujudkan sandiwara politik dengan menjaja fitnah yang
sebenarnya tidak menguntungkan rakyat malah lebih teruk lagi mereka
hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Itulah sebenarnya yang perlu
dirungkaikan segera.
"Politik bukan bekalan untuk hidup
tetapi politik bekalan untuk mati," petikan kata-kata Naib Presiden PAS,
Ustaz Idris Ahmad. Ia menunjukkan betapa pentingnya kepada kita semua.
Justeru asas politik mesti bermula daripada individu dengan kesedaran
dan kefahaman diberi penekanan penting. Kita mesti memilih untuk menjadi
baik dan mengajak ke arah kebaikan bertepatan dengan fitrah kejadian
manusia.
Bagi ahli gerakan Islam atau pastinya
terdidik dengab adab berjemaah dengan memberi wala' dan tsiqah kepada
pimpinan yang sudah pasti setiap keputusan dibuat secara syura. Strategi
itulah akan merangkumkan individu kepada organisasi yang adanya
pemimpin dan pengikut. Ilmu dan pengalaman perlu seiringan serta
bersama-sama mendukung dengan penglibatan langsung akan menghampirkan
kita kepada Allah S.W.T.
Sebagai ahli jemaah yang telah memahami
tanggungjawab pastinya memilih untuk istiqamah dalam setiap tindakan dan
aktiviti. Namun di sana pentingnya untuk terus memperkasa tarbiyah
individu dan organisasi dengan berterusan. Tarbiyah akan mengikat diri
kita untuk sentiasa dekat dengan Allah S.W.T serta membentengi kita
daripada terlanggar prinsip berjemaah. Oleh itu, ahli jemaah mesti
menghadiri usrah, ijtima', tamrin dan seumpamanya. Begitu juga buat ahli
baru atau yang bersedia bersama dengan jemaah mestilah
sekurang-kurangnya memulakan tarbiyah individu dengan solat fardhu
berjemaah, qiamullai, bacaan al-Matsurat dan amalan sunat. InsyaAllah
dengan sempurna tarbiyah, mudah untuk minda kita aktif dan bertindak
secara proaktif seiringan dengan strategi dan fokus organisasi jemaah.
Menyerang untuk menerang, menyokong
untuk kestabilan negara, bekerjasama untuk penyatuan ummah merupakan
langkah politik damai yang mesti dicontohi daripada kepimpinan ulamak
yang dibawa oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang. Tuan Guru sedang mengajar, mendidik kita Siasah Syar'iah
berdasarkan banyak peristiwa Sirah Rasulullah S.A.W.
Pelbagai tuduhan dilemparkan kini oleh
pihak lawan yang sudah tidak senang duduk dengan strategi politik Islam
yang sudah pasti menguntungkan rakyat dan negara. Atas sebab itu, PAS
sebagai parti yang menjunjung al-Qur'an, as-Sunnah, Qias dan Ijma'
sebagai dasar perjuangan sering dilihat bertahan tetapi bukan bererti
menyerah kalah atau mempertahan mereka yang didakwa bersalah. Namun
terdapat pertimbangan wajar yang lebih ringan mudaratnya malah
InsyaAllah akan memberi manfaat lebih baik untuk lebih ramai.
Justeru, Tuan Guru Presiden menyeru
untuk kita semua khususnya ahli jemaah untuk bermunajat kepada Allah
sebagai pengikat kesabaran kerana kita adalah hamba-Nya yang sememangnya
dituntut akhirnya bertawakkal kepada Allah S.W.T. Yakinlah kita bahawa
Allah S.W.T pasti membantu mereka yang berjuang untuk Islam.
"Kemungkinan Islam bukan menang di zaman
saya, tapi di zaman tuan atau puan, atau tuan atau puan tidak sempat
ketika Islam itu menang, tapi biarlah kita hidup dalam memperjuangkan
Islam," pesanan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Oleh yang demikian, saat ini yakinlah
kita bahawa setiap tindakan kita hendaklah dilaksanakan kerana Allah
S.W.T. Maka kembalilah kepada Allah S.W.T Maha Berkuasa atas segalanya,
Tuhan Pencipta sekalian alam. Semoga kita semua mendapat keredhaan-Nya
dan bertemu di syurga-Nya nanti sebagai orang-orang yang bertaqwa.
"Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan
janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.” (ali-'Imran : 102)
*ZULFAHMI RAMLI, Pemuda PAS - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan