Proses pembersihan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berjalan
lancar dengan jarak yang sudah dibersihkan ialah 1.2 kilometer setakat
hari ini, kata Menteri Besar Johor Osman Sapian.
Sementara itu, beliau berkata keadaan pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang berada dalam tahap terkawal dan tidak berbahaya.
Ia berdasarkan indeks kualiti udara yang berada di bawah paras bahaya setakat 6 petang tadi.
"Bacaan O.17 PPM (bahagian setiap juta) adalah bacaan yang tidak berbahaya kerana masih di paras bawah 2.0 ppm," katanya ketika diminta mengulas mengenai notis bacaan indeks kualiti udara yang ditampal oleh pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang malam ini.
Sementara itu, jumlah orang ramai yang membuat pemeriksaan di pusat saringan telah berkurangan berbanding sebelum ini, turut menandakan satu perkembangan baik.
"Sehari demi sehari jumlah mangsa yang mendapat rawatan di hospital semakin menurun," katanya.
Terlebih dahulu, Osman meluangkan masa kira-kira satu jam melawat orang ramai yang mendapat rawatan awal di Pangkalan Perubatan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di Johor Bahru sebentar tadi.- Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan