HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mac 2019

‘Tak adil samakan Lynas dengan pelaku Sungai Kim Kim’

ainaa syaza


LAMP alu-alukan badan bebas jalankan siasatan ke atas operasi Lynas


KUANTAN – Tiada sebarang asas mengenai dakwaan bahawa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, akan mengakibatkan berlaku insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, kata Pengurus Besar Keselamatan Radiologi LAMP Prof Dr Ismail Bahari.

Katanya, tidak adil untuk menyamakan Lynas dengan pelaku di sebalik insiden Sungai Kim Kim kerana Lynas beroperasi di bawah pemerhatian pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Selain itu, beliau berkata, Lynas dipantau sejak hari pertama beroperasi dan sehingga hari ini, tiada satu insiden pun yang menimbulkan keadaan cemas seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim kerana pihak mereka mematuhi peraturan seperti yang sepatutnya.

“Kami ada bukti, fakta dan data yang boleh diperoleh orang ramai. Oleh itu, perbandingan tidak boleh dibuat di antara kedua-dua operasi ini,” katanya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kumpulan anti Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) turut mengadakan sidang akhbar bagi melahirkan kebimbangan mereka berhubung kemungkinan rizab bakau Sungai Balok, yang terletak di dalam daerah yang sama dengan LAMP, akan dicemari sisa buangan daripada Lynas.

Di samping itu, SMSL turut mempersoalkan mengenai kos pembersihan pencemaran dan sisa buangan Lynas apabila melihat kos operasi pembersihan Sungai Kim Kim itu sendiri mencecah sehingga jutaan ringgit.

Beliau tegas berkata, tidak adil baginya apabila pihak lain cuba untuk menyalahkan Lynas berhubung laporan jawatankuasa semakan eksekutif tentang penemuan logam berat di dalam air di bawah tanah.

“Jawatankuasa eksekutif tidak menuding jari kepada Lynas. Apa yang sebenarnya mereka syorkan di dalam laporan itu adalah, supaya ianya disiasat kerana terdapat banyak aktiviti lain yang dijalankan di sekitar kilang Lynas sejak 2015,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan sebuah badan bebas lain untuk menjalankan siasatan.

“Jika pihak kami yang melakukan siasatan, pasti ada sesetengah pihak yang akan menuduh kami sebagai berat sebelah. Jadi, mereka yang mempunyai bukti bahawa kami adalah puncanya perlu tampil ke hadapan,” katanya.

Beliau juga berharap, orang ramai akan berfikiran lebih terbuka dalam isu berkaitan Lynas dan mencari bukti serta data saintifik, bukan hanya dipengaruhi pendapat yang tidak berasas.

Jawatankuasa semakan dalam laporan terkini LAMP yang dikemukakan kepada kerajaan pada akhir 2018, turut mempunyai ‘nada positif sama’ dengan jawatankuasa pertama yang ditubuhkan pada 2012.

“Jawatankuasa semakan eksekutif ditubuhkan di bawah pentadbiran dua kerajaan (Barisan Nasional dan Pakatan Harapan). Mereka dilantik oleh menteri dan terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang,” katanya.

Justeru, mereka membuat kesimpulan bahawa Lynas tidak mempunyai suara untuk campur tangan.

Katanya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan data dan bukti, malahan perkara itu bukan menjadi bidang kuasa Lynas. – Bernama


Tiada ulasan: