HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Mac 2019

Taraf sijil SMA, SMU tak sama dengan UEC, kata Mappim

siti hafidah 

Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina belum diiktiraf


BANGI – Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) menyifatkan tindakan timbalan menteri pendidikan mempelawa lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah Cina memohon menyertai program perguruan, sebagai mendahului dasar kerajaan.

Ini kerana Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) yang ditubuhkan, masih membuat kajian dan mengumpul maklumat mengenai UEC sebelum diserah kepada Kementerian Pendidikan dan kerajaan.

Ketua Mappim, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Teo Nie Ching telah mencabar keputusan yang bakal dibuat, kerana kerajaan belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak UEC.

“Justeru, adalah sangat tidak wajar dan bertanggungjawab sebagai seorang timbalan menteri yang telah pun mendahului keputusan yang masih lagi dalam kajian oleh kerajaan.

“Ini memperlihatkan sikap tidak menghormati pasukan yang telah ditugaskan oleh kerajaan bagi membuat kajian dan cadangan, seolah-olah keputusan mengiktiraf UEC telah pun dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nie Ching yang memaparkan iklan melalui laman sosialnya bahawa pemegang SMA,SMU dan UEC boleh memohon mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Sejak kelmarin, ramai pihak terkejut apabila terdapat iklan membenarkan lulusan UEC dengan sekurang-kurangnya tiga gred kepujian pada peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC-SML) dibolehkan memohon menyertai PISMP.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.

Sebelum ini Dong Zhong – Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia – sejak sekian lama berkeras mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Mohd Zai berkata, Mappim dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – gabungan lebih 350 pertubuhan bukan kerajaan – melihat kenyataan Nie Ching sangat pelik dan di luar daripada norma prosedur biasa kerajaan.

Beliau berkata, timbalan menteri berkenaan tidak boleh menyamakan kedudukan pemegang sijil Sekolah Menengah Ugama (SMU) dan Sekolah Menengah Agama (SMA), dengan UEC.

“Ini kerana sijil SMA dan SMU telah pun berada dalam kerangka arus perdana sistem pendidikan negara, berbanding UEC yang berada di luar kerangka dan menggunakan sistem daripada luar,” katanya.


Tiada ulasan: