Peguam Latheefa Koya mengkritik cadangan penggunaan Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas ibu bapa yang enggan memberi vaksin kepada anak mereka.
Jelas Latheefa, orang ramai terutamanya ibu bapa perlu dimaklumkan terlebih dahulu bahawa tidak memberi vaksin kepada anak adalah kesalahan sebelum menetapkan ia sebagai jenayah.
“Peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 tidak boleh digunakan untuk menghukum ibu bapa yang mendedahkan anak mereka kepada penyakit dengan tidak memberi vaksin," katanya dalam kiriman di Twitter.
Dalam kiriman lain, Latheefa berkata, menyamakan tindakan ibu bapa yang tidak memberi vaksin kepada anak mereka dengan pengabaian adalah melampau.
“Kamu (kerajaan) seharusnya mewajibkan vaksin terlebih dahulu sebelum menjadikannya satu jenayah.
"Fokus lakukan hal itu dulu,” katanya lagi.
Latheefa berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Awal hari ini, Yeoh berkata Akta Kanak-kanak 2001 memberi kerajaan kuasa penuh untuk menghukum ibu bapa yang mengabaikan atau mendedahkan anak mereka kepada bahaya, termasuklah tidak memberi vaksin anak.
“Kita boleh guna Akta Kanak-kanak. Kita bukan kekurangan undang-undang, tetapi tidak tahu menggunakannya bila perlu,” Kata Yeoh.
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian kini bersedia untuk pertimbangkan cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia untuk menjadikan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin di bawah Imunisasi Sepanjang Hayat wajib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan