SEJARAH mengajar kita
mengenal susur galur dan ketamadunan sesebuah negara mahupun
penduduknya. Selain daripada mengenal asal usul, ia juga penakrifan
terbaik bagaimana terbentuknya sebuah negara dan bangsa dan sama ada
dari sudut ilmu, budaya serta cara hidup penduduknya. Tulisan jawi
memainkan peranan yang begitu penting dalam sejarah tanah air sejak
sekian lama terutamanya dari segi sosiobudaya mahupun ekonomi.
Apabila sekumpulan pimpinan akar umbi
DAP seramai 138 orang termasuk 13 Adun DAP menggesa pimpinan tertinggi
DAP yang menggangotai kabinet agar menolak cadangan untuk memasukkan
pembelajaran tulisan khat atau kaligrafi jawi mahupun tulisan jawi
secara amnya ke dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar tahun lima
bermula tahun depan, saya beranggapan ia adalah satu tindakan yang
cukup tidak munasabah dan masuk akal. Ternyata mereka buta sejarah.
Apakah mereka tidak sedar akan sejarah
perkembangan bahasa dan tulisan yang telah sekian lama bertapak di tanah
air sebelum tulisan rumi digunakan secara meluas terutamanya sejak
selepas merdeka. Penemuan Batu Bersurat Terengganu secara jelas dan
berfakta membuktikan bahawa penggunaan tulisan jawi telah bermula
bermula sejak awal kurun ke-13 di tanah air.
Penggunaannya bertambah meluas
terutamanya pada kurun ke-15 terutamanya oleh negeri-negeri di bawah
Kesultanan Melaka dan Johor sama ada untuk urusan rasmi Kerajaan, titah
diraja dan perundangan seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Johor,
Pahang dan Kedah. Tulisan jawi juga merupakan abjad dan tulisan rasmi
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu pada zaman pemerintahan Kerajaan
British. Malah Sultan Abdul Jalil VI daripada Kesultanan Johor mengutus
surat kepada Raja Louis XV Perancis pada tahun 1719 turut menggunakan
tulisan jawi dalam surat beliau.
Walaupun begitu, tulisan jawi tetap
digunakan secara meluas oleh penduduk dan Kesultanan Melayu di tanah air
sehingga selepas merdeka. Akhirnya tulisan rumi dipilih sebagai tulisan
rasmi Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan selepas diluluskan Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Dalam akta tersebut juga secara jelas
menyebut bahawa “Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan rumi
dengan syarat bahasa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang
lebih dikenali dengan nama tulisan jawi bagi bahasa kebangsaan“.
Maka adalah tidak menjadi beban dan
kesalahan jika dimasukkan pembelajaran tulisan khat ataupun jawi ke
dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar tahun lima bermula tahun
depan. Lagipun ia hanya membabitkan sebanyak enam muka surat dari
keseluruhan 162 muka surat dalam buku teks tersebut serta tidak
memerlukan apa-apa penilaian mahupun peperiksaan khusus untuknya.
Dalam erti kata lain, ia hanya sebagai
cara memperkenalkan kembali tulisan jawi kepada para pelajar dan sebagai
salah satu cara untuk mendidik pelajar ajar mengenal asal usul
ketamadunan tanah air serta tulisan jawi yang menjadi abjad dan tulisan
rasmi tanah air sejak sekian lama sebelum diperkenalkan tulisan rumi
sebagai tulisan rasmi Bahasa Kebangsaan.
Jadi di atas alasan apakah pimpinan akar
umbi DAP termasuk dengan Adun-Adun tersebut membantah? Jika hanya
beralasan para pelajar sudah cukup terbeban dengan tiga bahasa yang
mereka belajar sekarang, ia alasan yang cukup tidak munasabah kerana
sebagai contoh Bahasa Inggeris adalah bahasa yang cukup asing kepada
kita semua sama ada untuk bangsa Melayu, Cina mahupun India namun ramai
dari pelajar sejak dahulu mampu belajar dan menggunakannya dengan cukup
baik.
Jawi hanya tulisan dan bukannya bahasa
serta ia hanya pembelajaran untuk memperkenalkan huruf dan kaedah
pembelajaran kaligrafi, tidak perlu lulus dan peperiksaan. Apakah mereka
tidak faham atau sahaja membuat bising untuk memperolehi sokongan
politik murahan di kalangan rakyat? Jika begitu caranya, maka
dicadangkan agar Kerajaan elok teruskan sahaja tanpa memperdulikan
mereka.
Jika begini sikap mereka ternyata mereka
sebenarnya langsung tidak menghargai sejarah dan budaya tanah air.
Malah tidak salah kita katakan bahawa mereka tidak langsung bangga
dengan ketamadunan tanah air. Beginikah sikap pemimpin yang di katakan
sayang tanah air dan rakyatnya? Secara jujurnya tindakan mereka cukup
memalukan serta menjatuhkan maruah bangsa dan budaya Malaysia. Mereka
tidak layak jadi pemimpin serta wajar ditolak kepimpinan mereka.
Inikah DAP yang cukup dibangga? Sikap
begini tiada apa yang boleh dibanggakan malah memualkan. Tolak DAP dan
selamatkan Malaysia. Marilah bersama Gagasan Perpaduan Ummah untuk masa
depan yang lebih terjamin dan gemilang.
*YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI, AJK PAS Pusat/
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan