MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Ahad, 17 November 2019
Beri jaminan kerja kepada ahli IPCMC seperti hakim, gesa G25
FMT ReportersG25 berkata, pegawai polis yang jujur dan profesional tidak patut takut kepada RUU IPCMC.
PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mencadangkan
kerajaan memberi jaminan pekerjaan seperti hakim, kepada individu yang
dilantik menyertai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Katanya, ini ialah langkah penting untuk meningkatkan integriti dan mengekalkan kebebasan IPCMC.
G25 turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa dianggotai
individu terkenal yang pernah memegang jawatan tinggi kerajaan seperti
bekas hakim mahkamah atasan atau bekas pegawai kanan undang-undang
kerajaan mempunyai rekod cemerlang dan terkenal dengan integriti mereka,
untuk mengendalikan proses pelantikan.
“Ia boleh menyerahkan calon terpilih kepada perdana menteri
yang akan mengesyorkan nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya
dalam kenyataan hari ini.
Katanya, proses pelantikan itu perlu jelas bagi memastikan ia adil,
telus, berdasarkan merit dan keanggotaan IPCMC mencerminkan kepelbagaian
masyarakat Malaysia.
“Demi kepentingan kebebasan suruhanjaya itu, perdana menteri hanya
perlu mempunyai pembabitan nominal dalam pelantikan pesuruhjaya IPCMC,”
katanya sambil menambah Rang Undang-undang IPCMC menyatakan Agong atas
nasihat perdana menteri, boleh memecat pesuruhjaya pada bila-bila masa.
“Ketika digubal, kuasa membuat peraturan bagi tujuan menguatkuasakan
Akta IPCMC terletak pada perdana menteri. Kami berpendapat suruhanjaya
itu perlu diberikan kuasa untuk membuat peraturan sendiri, bukannya
perdana menteri.
“Ini adalah logik dan sejajar hakikat untuk menjadi sebuah badan
bebas, suruhanjaya itu perlu mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda
peraturannya dari semasa ke semasa untuk menambah baik rangka kerja
penguatkuasaan dan selaras perkembangan baru.”
G25 berkata, di bawah RUU itu, perdana menteri diberikan kuasa untuk
meminda dari semasa ke semasa, jadual yang memberikan komposisi lembaga
disiplin itu.
“Jadual itu ialah bahagian penting dalam akta itu. Kami
berpendirian hanya Parlimen patut mempunyai kuasa untuk meminda jadual
itu, bukannya eksekutif.”
RUU IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama bulan
lalu, tetapi ia kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen untuk pindaan lanjut susulan bantahan ahli Parlimen.
RUU itu bertujuan menubuhkan sebuah badan bagi menangani perkara
berkaitan disiplin pasukan polis; walaupun kewujudan Suruhanjaya Pasukan
Polis yang sebaliknya akan menangani perkara sedemikian.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sudah mengadakan beberapa
rundingan di seluruh negara untuk mengumpul maklum balas, termasuk
daripada pegawai polis.
G25 berkata, pesuruhjaya dan pegawai IPCMC perlu mempunyai semua
kuasa siasatan seperti terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah dan kuasa
itu sepatutnya menjadi tambahan kepada kuasa yang diperuntukkan di
bawah akta itu.
“Seksyen khusus perlu dimasukkan dalam RUU itu untuk memberi kuasa
kepada IPCMC mengadakan pendengaran awam, memanggil dan menyoal saksi,
memaksa pengeluaran dokumen dan menahan saksi bagi tujuan siasatan serta
pendengaran. Ia juga perlu mempunyai peruntukan bagi perwakilan
undang-undang.
“IPCMC tidak boleh menjadi sekadar barang pameran atau harimau tanpa taring.”
G25 berkata, peruntukan perlindungan saksi di bawah RUU itu juga tidak mencukupi.
“Sesiapa yang mengugut atau menghalang sesiapa daripada menyerahkan
bukti kepada IPCMC perlu dikenakan hukuman berat. Cadangan sedia ada
ialah hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Pada pendapat kami, ini tidak mencukupi.
“Orang ramai akan mempunyai keyakinan membuat laporan kepada IPCMC
selepas ia mempunyai rangka kerja perlindungan saksi yang jelas.”
Katanya, RUU IPCMC menyatakan sebarang salah laku di bawah peraturan
polis dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara dikecualikan daripada bidang
kuasa IPCMC.
“Pada pandangan kami, pembatasan ini tanpa alasan baik dan Seksyen
22(2) RUU IPCMC yang menyatakan perkara sama perlu dikeluarkan. Perintah
Tetap Ketua Polis Negara perlu didedahkan kepada orang ramai kerana ia
masih terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“RUU IPCMC membenarkan IPCMC memberi fungsi dan kuasanya kepada
mana-mana anggota dalam pasukan polis. Kami berpendapat peruntukan ini
perlu dikecualikan kerana ia menjejaskan kebebasan IPCMC.”
Aduan terhadap ketua polis negara
Di bawah RUU itu, aduan terhadap ketua polis negara tidak akan
ditangani IPCMC, sebaliknya ia akan dirujuk kepada ketua setiausaha
kerajaan dan sebuah lembaga tatatertib khas akan ditubuhkan.
G25 berkata, IPCMC perlu diberikan kuasa untuk mengendalikan aduan
terhadap ketua polis negara dan tiada perlindungan atau layanan istimewa
patut diberikan kepada ketua polis negara di bawah RUU IPCMC.
“Sejajar kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,
ketua polis negara perlu tertakluk kepada pengawasan sama seperti
pegawai polis lain.”
Katanya, ia turut mencadangkan polis diberikan 24 jam untuk merujuk
kes kecederaan serius atau kematian dalam tahanan kepada IPCMC.
“RUU ini turut menyentuh pembubaran Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC). Kami berpendapat EAIC tidak boleh dibubarkan
segera selepas penubuhan IPCMC, tidak sehingga Ombudsman yang
dicadangkan itu ditubuhkan.
“Jika tidak, ketika menunggu penubuhan Ombudsman, siapa yang akan
menangani aduan dan salah laku agensi penguatkuasaan yang kini di bawah
EAIC?”
G25 berkata, RUU IPCMC sedia ada mengandungi kekaburan dan kelemahan
yang perlu dipinda serta ditambah baik oleh penggubal undang-undang.
Katanya, lebih banyak sesi penyelidikan dan rundingan dengan orang ramai serta NGP perlu dijalankan untuk menambah baik RUU itu.
“Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa menguatkuasakan RUU IPCMC dan
penggubal undang-undang serta orang yang mendraf RUU itu perlu
menghabiskan masa secukupnya untuk membahas dan melaksanakan langkah
betul bagi menambah baik RUU IPCMC sebelum ia diluluskan.
“Polis dilaporkan mengkritik RUU itu sebagai drakonian dan bersifat diskriminasi. Kami tidak bersetuju.
“Kami berpendapat kebimbangan itu tidak adil dan tidak berasas.
Sebaliknya, kami mendapati RUU Itu mempunyai banyak kekurangan. Kita
perlu mengkajinya lebih serius dan penambahbaikan perlu dilakukan untuk
undang-undang dicadangkan itu lebih berkesan.
“Pegawai polis yang jujur dan profesional tidak perlu takut kepada RUU itu. Sebaliknya, ia akan perlu disambut baik.”G25 berkata, terdapat 1,800 kes kematian dalam tahanan antara 2010
hingga 2017 dan kes “kehilangan paksa” yang berpublisiti tinggi belum
diselesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan