Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dakwaan bahawa beliau menjadi boneka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini muncul pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.
Lim berkata dakwaan itu berdasarkan laporan bahawa beberapa entiti termasuk Khazanah Nasional Berhad, yang sebelum ini di bawah Kementerian Kewangan, dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.
"Malangnya, laporan akhbar tidak mendedahkan bahawa terdapat juga agensi-agensi yang juga baru dipindahkan ke Kementerian Kewangan seperti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia yang menyelia semua hospital swasta dan Koridor Pembangunan Ekonomi.
"Satu-satunya yang membezakan adalah pemindahan Khazanah kepada Jabatan Perdana Menteri, terutama apabila Khazanah dipengerusikan oleh perdana menteri walaupun ketika di bawah BN," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya Mahathir mahu menjaga dan memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam Khazanah kerana ia ditubuhkan ketika beliau mula-mula menjadi perdana menteri pada tahun 1982.
"Janganlah kita jatuh dalam perangkap media massa kawalan BN dengan naratif palsu mereka bahawa kita adalah boneka Bersatu atau boneka DAP. Jika kita adalah boneka kita hanya boneka kepada rakyat," katanya.
Lim berkata tuduhan "boneka" itu bukan perkara baru dan pada masa yang lain, Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP.
'Pembangkang lakukan pembohongan'
Ini berikutan kenyataan Lim di Tanjung Piai semalam di mana beliau berkata pengundi tidak sepatutnya membuat keputusan pada pilihan raya kecil itu berdasarkan kaum sebaliknya berdasarkan prestasi dan keupayaan untuk membayar gaji penjawat awam.

"Sebaliknya saya telah menggesa pengundi menolak politik perkauman dan pelampau agama oleh pembangkang dan memberi tumpuan kepada parti politik mana yang mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik, dasar-dasar yang lebih baik dan faedah yang lebih baik kepada rakyat.
"Saya menegaskan bahawa PH adalah lebih baik daripada pembangkang dalam memerangi rasuah dan pengurusan ekonomi yang cekap," katanya.
Sebaliknya, Lim berkata PAS, yang menyokong calon BN dalam pilihan raya kecil itu kini sedang berdepan masalah untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan.
"Marilah kita bersatu bersama-sama bukan sahaja untuk mengalahkan pembohongan pembangkang dan pelampau perkauman dan agama mereka tetapi juga bahaya 'deep state' seperti yang didedahkan oleh Setiausaha Agung PH, Saiffudin Abdullah," katanya.
PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, antara Wee Jeck Seng (MCA), Karmaine Sardini (Bersatu), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan), dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Pada PRU14, Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari Bersatu menang dengan majoriti 524 undi.
Kerusi itu dikosongkan selepas Mohd Farid yang juga timbalan menteri di JPM meninggal dunia September lalu akibat serangan jantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan