Perasmian Kongres Nasional AMK Pusat perlu diteruskan
mengikut tradisi organisasi dengan ucapan dasar disampaikan oleh
timbalan presiden parti, Mohamed Azmin Ali, kata Timbalan Ketua Pemuda
PKR Muhammad Hilman Idham.
"Perasmian Kongres Nasional AMK Pusat
akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen organisasi dengan ucapan
dasar oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada 5 Disember
2019 di MITC Melaka bersama-sama dengan sayap Wanita PKR.
"Seluruh
pergerakan dan perwakilan AMK di peringkat nasional, cabang dan ranting
akan digerak untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen PKR," katanya
selepas mempengerusikan mesyuarat lebih tiga jam bersama pemimpin AMK.
Bagaimanapun,
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan para pemimpin AMK
negeri yang dilantiknya tidak dijemput hadir pertemuan itu.
Menurut
Hilman yang juga setiausaha politik kepada Azmin, kumpulannya mendapat
sokongan 132 daripada 196 ketua pemuda AMK yang hadir pada mesyuarat
pemuda malam ini.
"Pada malam ini saya telah
pengerusikan satu mesyuarat untuk kita dengar pandangan dan pendirian
rakan-rakan Angkatan Muda Keadilan baik di peringkat nasional mahupun di
peringkat cabang.
"Ada 132 kepimpinan angkatan muda cabang yang hadir untuk nyatakan pandangan pada kita," katanya kepada pemberita.
Sebelum
ini, konflik tercetus apabila Ketua Pemuda AMK Akmal Nasir membelakangi
tradisi dengan tidak mengundang Azmin, sebaliknya menjemput penasihat
PKR Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri untuk
merasmikan kongres pemuda PKR pada awal Disember ini.
Bagaimanapun,
tindakan itu dibantah oleh sebahagian besar - 21 daripada 25 -
kepimpinan pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu, termasuk Hilman.
Adun
Gombak Setia itu juga berkata keputusan itu muktamad dan perasmian itu
juga telah dipersetujui oleh Ketua Wanita PKR Haniza Talhah.
"Belum pernah ada dalam sejarah perasmian kongres ini kita buat perasmian penutup.
"Jadi
sebab itu kita akan teruskan perasmian pembukaan ucapan dasar oleh
timbalan presiden pada 5 Disember bersama-sama dengan sayap wanita PKR,"
katanya.
Pertahan kepimpinan Dr M
Sementara itu, Hilman turut menyatakan AMK terus mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ini selepas timbul gesaan supaya Dr Mahathir berundur susulan kekalahan teruk PH pada PRK Tanjung Piai.
"Bermuafakat
untuk mempertahankan kestabilan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan
Mahathir daripada sebarang usaha atau langkah yang bertujuan untuk
mengganggu gugat kedudukan serta peranan beliau sebagai perdana menteri
Malaysia yang ketujuh.
"Ini adalah soal mandat yang diberikan oleh
rakyat dan saya sebut tadi bila sampai masanya Tun buat keputusan, kita
terima dengan baik tetapi kita sebut jelas dalam kenyataan kita bahawa
kita akan pertahankan sebarang usaha-usaha yang akan undermine the current government (menjejaskan kerajaan sedia ada) pada hari ini," katanya.
Untuk
rekod, sebelum PRU lalu, PH menjadikan Mahathir sebagai calon perdana
menteri berdasarkan persetujuan beliau akan menyerahkan kedudukan itu
kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Mahathir pada mulanya berkata
akan memegang jawatan itu selama kira-kira dua tahun, tetapi dalam
beberapa wawancara berkata ia mungkin boleh mengambil masa sehingga tiga
tahun.
Hilman juga berkata mesyuarat pemimpin AMK
malam ini turut menzahirkan solidariti kepada Majlis Pimpinan Negeri
(MPN) PKR Sarawak.
"Bermuafakat
dan bersolidariti dengan kepimpinan MPN Sarawak yang tuntas
mempertahankan idealisme dan prinsip perjuangan PKR yang luhur," katanya
lagi.
PKR Sarawak kekal dengan pendirian mereka untuk membatalkan
konvensyen peringkat negeri parti itu yang dijadualkan berlangsung pada
23 Nov nanti.
Pengerusinya, Baru Bian, berkata pembatalan itu
adalah keputusan majoriti ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dan
bukannya keputusan peribadi beliau pengerusi.
Pada 15 Nov lalu MPN
Sarawak mengeluarkan kenyataan mengancam untuk membatalkan konvensyen
berkenaan ekoran pembatalan jemputan kepada Azmin Ali bagi merasmikan
Kongres Nasional Pemuda PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan