MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Khamis, 14 November 2019
Isu jemputan Azmin ditarik balik: Pemimpin AMK saling tuduh-menuduh
MALAYSIAKINI
Kontroversi pembatalan surat jemputan kepada
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Tahunan
Pemuda PKR (AMK) 2019 diheret ke isu teknikal selepas kedua-dua pihak
saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Naib Ketua Pemuda PKR
(AMK) Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa bahawa pihak Azmin tidak
membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar.
"Sepertimana
kelaziman, AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019
untuk menjemput Timbalan Presiden YB Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan
Kongres AMK.
"Namun sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis
Pimpinan AMK pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat memaklumkan
tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Setiausaha
Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham menafikan dakwaan Azmin tidak
membalas surat jemputan sebagai satu pembohongan.
"Kalau Azmin tak jawab undangan, buat apa buat surat batalkan? Itu tandanya pembohong," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu,
tengah hari tadi, Azmin mendakwa bahawa wujud tangan ghaib di belakang
keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres AMK.
Azmin Ali
Azmin
turut mengatakan bahawa dia yakin bahawa Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir
tidak mempunyai keberanian untuk membatalkan jemputan tersebut secara
sendiri.
Mengulas kenyataan Azmin yang menyifatkan Ketua AMK Akmal
Nasir sebagai lemah dan seolah-olah dikawal tangan ghaib, Syed Badli
menyifatkan ia sebagai dangkal dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh
timbalan presiden.
"Sebagai timbalan presiden beliau tetap mempunyai ruang tersendiri dalam kongres nasional parti untuk mengutarakan pandangan.
Tambahnya, tradisi timbalan presiden parti merasmikan kongres AMK sekadar makluman tiada sebarang peraturan mengikat kemestian.
"Jemputan
kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongres hanyalah tradisi dan
ini bukanlah kali pertama AMK menjemput perasmi selain timbalan
presiden," jelasnya.
"Justeru itu saya dengan rasa rendah diri
selaku salah seorang pimpinan kanan AMK ingin menjemput Azmin Ali untuk
turut hadir Kongres AMK bagi memberikan penghormatan kepada mantan
presiden parti merangkap timbalan perdana menteri," tambahnya lagi.
Suasana dalam Kongres AMK sebelum ini
Sementara
itu, Syed Badli mengesahkan bahawa keputusan untuk menjemput Timbalan
Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dibuat sebulat suara pada
mesyuarat bulanan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia (MPAMK) yang
dihadiri lebih 30 orang ahli Majlis Pimpinan AMK.
"Beliau dijemput atas kapasiti sebagai pengerusi majlis penasihat PKR merangkap timbalan perdana menteri," katanya.
"Saya
juga menyeru AMK untuk berhenti berbalah d iatas isu remeh temeh dan
kembali fokus kepada agenda utama untuk memantapkan Pakatan Harapan,"
tambahnya lagi.
Iktiraf Azizah
Sementara itu, kesemua 14 ketua AMK negeri mengeluarkan kenyataan bersama menyokong keputusan menukar Azmin dengan Azizah.
"Kami yakin dan percaya keputusan ini dibuat setelah mesyuarat menimbang tara semua keadaan yang perlu.
"Ini
juga merupakan satu pengiktirafan atas segala jasa bakti Dr Wan Azizah
selama beliau memimpin Parti Keadilan Rakyat sejak 1998," katanya.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Menurut
lagi, Peraturan Tetap AMK 2014 memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan AMK
untuk menguruskan sepenuhnya hal ehwal pengurusan Kongres Nasional
Tahunan AMK.
"Tidak ada sebarang klausa yang menetapkan atau
menghadkan mana-mana individu yang perlu diundang sebagai perasmi, malah
mana-mana kepimpinan tertinggi Keadilan boleh diundang untuk merasmikan
Kongres AMK," jelasnya.
Hilman bagaimanapun menolak sokongan itu atas alasan “tiada keabsahan politik”.
“Semuanya
dilantik oleh Akmal, jadi takut kena pecat, sokonglah Akmal. Bayangkan,
ada Ketua AMK Negeri, bertanding di peringkat cabang pun kalah, tapi
dilantik jadi ketua AMK Negeri,” katanya.
Beliau menyifatkan ia tidak senada dengan suara yang dilontarkan dalam pemilihan parti sebelum ini.
“Kamu
boleh lantik 1,000 orang pun sebagai pemimpin. Tapi kena sedar, 1,000
itu tak mewakili suara ratusan ribu anggota yang memilih dalam
pemilihan,” katanya.
Tuding jari pada Saifuddin
Sementara itu, pemimpin-pemimpin AMK Selangor pula, di mana Azmin berpengaruh, tampil membantah perkara itu.
Mereka terus menuding jari kepada Saifuddin Nasution walaupun setiausaha agung PKR itu telah menafikan penglibatannya semalam.
"Kami,
selaku pemimpin AMK Cabang Selangor setelah meneliti dan mengambil
semangat reformasi maka dengan ini bersetuju menyokong kenyataan media
yang dikeluarkan oleh MPAMK bahawa permainan politik kepimpinan tinggi
telah menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.
"Kami
juga berpendapat bahawa hala tuju pengurusan parti ini telah
diterjemahkan dalam bentuk yang salah dan hanya melebarkan jurang
pendapat yang terbentuk sejak Pemilihan Keadilan 2018 yang lalu."
"Belajarlah
menghormati suara-suara majoriti sayap anak muda seluruhnya dan bukan
terhadap mereka yang membuat keputusan-keputusan tidak matang dan bacul
tanpa merujuk kepada sentimen akar umbi," kata 16 pemimpin kanan cabang
AMK di Selangor.
Saifuddin Nasution
Kongres AMK 2019 yang akan berlangsung pada 6 Disember 2019 di Melaka.
Perhimpunan tahunan itu secara tradisinya dirasmikan oleh timbalan presiden PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan