Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low
dikesan dipercayai cuba membeli harta di Cyprus dengan menggunakan nama
individu yang tidak dikenali, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
“Hasil daripada tangkapan, kami berjaya merungkai dan mendapatkan maklumat Jho Low sedang berusaha membeli harta di negara berkenaan.
“Kami ada membuat tangkapan secara diam-diam (beberapa minggu lepas),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Manual Siasatan Jenayah Komersial dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan perkara itu, Abdul Hamid berkata Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman giat berusaha mengkaji petunjuk baharu berkaitan Jho Low.
“Pasukan Amla giat bekerja siang dan malam mengkaji petunjuk-petunjuk yang ada (termasuk isu Cyprus ini),” katanya.

“Saya tidak berkomunikasi dengan pihak Cyprus. Tidak pernah ada, namun mungkin itu adalah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah negara berdaulat,” katanya.
“Sudah tahu individu itu (Jho Low) dikehendaki oleh InterpoI (Polis Antarabangsa) dan notis merah, sepatutnya negara itu akur," katanya.
Abdul Hamid berkata beliau tidak ada komunikasi terus dengan polis negara luar, sebaliknya hanya mengetahui melalui laporan akhbar sahaja.
"Saya sudah katakan, mustahil Jho Low boleh keluar daripada persembunyiannya dari negara itu. Dia masih di situ bersembunyi,” katanya.

“Saya tidak bermaksud sedemikian, alasan-alasan yang diberitahu susah untuk menjejak Jho Low antaranya kemungkinan dia melakukan pembedahan plastik. Itu yang saya bangkitkan di Tawau, Sabah (baru-baru ini).
“Sekiranya alasan dia menjalani pembedahan sehingga boleh berubah, alasan sebegini saya tidak boleh terima,” tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya jika polis gagal membawa pulang Jho Low sehingga penghujung tahun ini, Abdul Hamid berkata tahap kesabarannya masih ada dan pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk bekerjasama dengan negara berkenaan.
“Tetapi saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan kami sudah beri kerjasama yang baik kepada negara berkenaan,” katanya.
Pada 4 Nov lepas, Abdul Hamid menyifatkan tindakan negara tertentu yang melindungi Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan