Situasi kekurangan kakitangan di hospital mahupun klinik kerajaan
berada di tahap serius akibat tiada penambahan jawatan bagi doktor,
jururawat, pakar farmasi dan kakitangan lain.
Presiden Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata, ini disebabkan
sektor perubatan berkembang dengan pembukaan hospital dan klinik baru.
Beliau
berkata keadaan ini menyaksikan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih
masa, manakala jururawat perlu bertugas dua syif (double shift) pada
waktu bekerja.
“Kita boleh lihat peningkatan bebanan
kerja dan kita perlu memastikan kebajikan kakitangan terjaga dengan
segera untuk mengurangkan keletihan melampau (burnout) di kalangan
kakitangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan balas kepada Malaysiakini hari ini.
Pada
12 Nov lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sewaktu sesi
penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa
di Dewan Rakyat berharap kementerian itu dikecualikan daripada dikenakan
sekatan terhadap penambahan kakitangan kerajaan.
Hal itu, katanya, memandangkan KKM memerlukan lebih
ramai kakitangan bagi menampung fasiliti perkhidmatan kesihatan yang
baru dibuka, selain menangani masalah kekurangan kakitangan yang sedang
dihadapi.
Katanya, kekurangan kakitangan yang dimaksudkan bukan
sahaja bagi jawatan doktor, tetapi juga jawatan lain seperti pembantu
pegawai perubatan dan sebagainya.
Ganabaskaran berkata, kekurangan kakitangan yang ketara itu turut dapat dilihat di hospital dan klinik di kawasan pedalaman.
Menurutnya,
kekurangan sebenar yang dihadapi masih perlu dikenalpasti dan pihaknya
menggesa KKM meneliti semula masalah kekurangan kakitangan tersebut dan
jumlah sebenar jawatan yang perlu diisi.
“Kita perlukan
(kekosongan) jawatan ini dibuka untuk menyediakan perkhidmatan yang
terbaik untuk orang ramai, di samping memastikan kakitangan sedia ada
tidak mengalami keletihan melampau dan bekerja lebih masa untuk
mengganti kekurangan kakitangan.
“Ia telah mencapai tahap yang
kritikal dan kakitangan perubatan yang mengalami keletihan melampau
pastinya akan berisiko melakukan banyak kesilapan yang menjejaskan
keselamatan pesakit,” katanya.
Hilang separuh doktor berpotensi
Ganabaskaran
berkata negara dijangka mengalami kehilangan separuh doktor yang
mempunyai potensi menyumbang untuk perubatan negara ini sekiranya
keadaan tidak berubah.
Baru-baru ini, dilema doktor yang dilantik
secara kontrak mendapat perhatian ramai apabila kerap dilaporkan di
media cetak, elektronik mahupun media sosial.
Keadaan itu dikatakan berpunca daripada berlakunya lambakan graduan perubatan, sedangkan jawatan yang boleh diisi adalah terhad.
Lee
juga mengakui perkara itu dan menyifatkan lantikan secara kontrak
dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan graduan perubatan menyelesaikan
tempoh latihan selama lima tahun seperti termaktub bawah Akta
Perubatan.
Menurut Ganabaskaran lagi, negara akan menyaksikan
lambakan doktor muda memasuki sektor swasta dan akan terdapat
peningkatan mendadak dalam telekesihatan dan penjagaan kesihatan uber.
Telekesihatan
merupakan perkhidmatan kesihatan dalam talian yang menghubungkan
pesakit dengan rangkaian doktor dan pengamal perubatan yang luas melalui
kemudahan panggilan audio atau video.
“Kita sangat berhati-hati
dengan (konsep) telekesihatan ini kerana ia dilakukan tanpa bersemuka
dengan pesakit tersebut, di mana sebarang nasihat perubatan akan diberi
dengan jawapan tekaan.
“Kita jangkakan akan lebih ramai doktor
muda akan secara tidak disangka akan dieksploit melalui model
telekesihatan yang dikomersialkan secara melampau dan tidak terkawal,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan