HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 November 2019

MPOC akan promosi minyak sawit ke sekolah - Teresa

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan turun padang bagi mempromosikan minyak sawit dan kebaikannya menerusi program melibatkan pelajar sekolah dan berkemungkinan memasukkannya sebagai kokurikulum.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata MPOC akan berbincang dan merangka strategi dengan guru besar dan guru bagaimana untuk melaksanakannya.

"Ini boleh menjadi satu cara untuk mempertahankan komoditi Malaysia daripada persepsi negatif di negara barat. Kita perlu bermula dari sekolah untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai minyak sawit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Duta Pelajar Minyak Sawit di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choong Wen di Kuala Lumpur, hari ini.

Kok turut menyampaikan sijil kepada jurulatih Duta Pelajar Minyak Sawit untuk melibatkan pelajar Malaysia menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan industri kelapa sawit kepada negara dan tuduhan tidak berasas terhadap minyak sawit, khususnya kempen anti-minyak sawit yang tidak adil oleh pertubuhan bukan kerajaan di barat.

Pada masa lalu, beliau berkata program yang sama dianjurkan di Sekolah Kebangsaan Taman Desa dan SMK Seri Sentosa dan sekolah-sekolah ini telah menyediakan maklumat minyak kelapa sawit di dinding sekolah untuk mendidik pelajar mereka.

Program hari ini dianjurkan oleh MPOC untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah tentang kepentingan minyak sawit.

Ia juga bertujuan bagi memperkasakan pelajar dengan pengetahuan yang tepat mengenai minyak sawit, memupuk rasa bangga dengan komoditi terbesar negara dan melengkapkan generasi muda dengan maklumat betul untuk menangkis tuduhan dan berkongsi pengetahuan dengan orang lain.
- Bernama


Tiada ulasan: