HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 November 2019

Orang Cina baik takkan perjuang sekolah vernakular: Kok Seong

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kaum Cina patut ikut resam, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung

BANGI – Meskipun sudah 62 tahun merdeka, rata-rata kaum Cina masih belum bersedia mengidentifikasikan diri mereka dengan kelompok dominan – Melayu – di negara ini.

Perkara itu dapat dilihat apabila sesetengah kaum Cina taksub dengan bahasa ibunda mereka sehingga mahu belajar hanya di sekolah vernakular, kata Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, dari satu sudut, golongan berkenaan masih mempunyai mentaliti orang Cina tulen dan totok.

“Sepatutnya orang Cina di Malaysia bertindak selari dengan resam di mana langit dipijak di situ langit dijunjung. Jika orang Cina yang baik, mereka tidak akan memperjuangkan sekolah vernakular,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Dalam pada itu, Kok Seong mengakui komponen vernakular adalah sesuatu yang penting, namun kata beliau komponen itu tidak boleh wujud dalam sekolah vernakular, sebaliknya wujud dalam sekolah satu aliran seperti yang berlaku di Singapura.

“Maksudnya sekolah satu aliran di dalam itu ada komponen etnik itu, tetapi peratusannya tidak boleh banyak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kaum Cina di Malaysia ini begitu cauvinis dalam memperjuangkan pendidikan Cina.

“Golongan berkenaan agresif menegakkan nasionalisme etnik Cina itu dalam sebuah negara bukan asal Cina.

“Sepatutnya mereka perlu bertindak mengikut resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Nampaknya perkara ini tidak berlaku. Malang sekalilah,” katanya.

Isu sekolah vernakular tidak pernah terhenti, terbaharu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, DAP – parti yang dominan dalam kerajaan – akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur akan memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” kata Nie Ching seperti dilapor Sinchew Daily.

Kenyataan Nie Ching itu susulan keputusan peguam, Mohd Khairul Azam yang mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Azam berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.



Tiada ulasan: