Berdepan gesaan 14 NGO supaya melepaskan jawatannya, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, hari ini menegaskan beliau tidak berhasrat melepaskan tugasnya di pertengahan jalan.
Katanya sebagai ahli parlimen PKR beliau ingin terus menyumbang tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.
"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa membiarkan mereka di pertengahan jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berita Harian semalam melaporkan, sekumpulan 14 NGO mencadangkan Prabakaran meletak jawatan dan memberi jalan kepada bekas wakil rakyat kawasan itu , Tian Chua, untuk bertanding semula melalui pilihan raya kecil.
Katanya cadangan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lalu yang membuat ketetapan bahawa pelucutan hak pencalonan Tian sebagai calon pada oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah.
Keputusan itu menjadikan Tian layak bertanding dalam pilihan raya.
Tian merupakan ahli parlimen Batu selama dua penggal sebelum kelayakannya dibatalkan pada hari penamaan calon PRU tahun lalu.
Keluar tanpa pengetahuan
Malaysiakini hari ini melaporkan, Tian menafikan beliau terlibat dalam gesaan tersebut.
Menurut Prabakaran beliau mengambil sikap positif dengan desakan berkenaan dan menegaskan tugasannya sebagai ahli parlimen Batu tidak akan terjejas.

“Saya berinteraksi dengan pengundi setiap hari. Mereka memang inginkan seorang pemuda yang bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka lalui selama ini.
“Banyak program dan aktiviti dijalankan di kawasan Batu.
"Saya sedang menyelesaikan masalah mereka secara beransur-ansur dan dapat menyelesaikan beberapa masalah rumit yang dihadapi pengundi saya dalam tempoh yang singkat.
“Saya bertekad untuk memberikan penyelesaian terbaik dalam beberapa isu yang sedang ditumpukan sekarang,” katanya.
Sementara itu, dua persatuan penduduk di Batu hari ini juga menafikan mereka sebahagian daripada 14 NGO terbabit.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Nasir Baba, kenyataan yang dilaporkan itu dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan