PRK TG PIAI |
Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, yang
bermula 8 pagi tadi, berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius
berlaku, setakat ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau belum menerima sebarang aduan
berhubung sebarang insiden dan suasana pengundian berlangsung dengan
aman.
"...13 peratus pengundi sudah keluar mengundi setakat 9 pagi tadi.
"Saya
menyeru para pengundi supaya keluar awal sebelum tengah hari kerana
Jabatan Metreologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir pada sebelah
petang," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Yunos Sulaiman, Pekan
Nanas, di Pontian hari ini.
Pusat mengundi itu mempunyai seramai 2,247 pengundi dengan lima saluran.
Azhar
berkata pihaknya menjangkakan 70 peratus daripada keseluruhan 52,471
pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai, menunaikan tanggungjawab
mereka hari ini sebelum pusat pengundian ditutup 5.30 petang.
Beliau
berkata SPR yakin peratusan itu mampu dicapai malah para penganalisis
turut meramalkan peratusan keluar mengundi antara 65 peratus dan 70
peratus.
"Berdasarkan tinjauan di saluran empat dan lima (di SMK
Dato' Mohd Yunos Sulaiman), ramai juga pengundi dalam kalangan orang
muda di mana kita tidak boleh simpulkan bahawa orang tua sahaja keluar
mengundi.
“Ramai juga para pengundi didapati turut membawa kad
mengundi dan SPR juga berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada
pengundi," katanya menambah bahawa SPR turut menyediakan kenderaan buggy
bagi kegunaan pengundi.
Azhar menyeru semua calon, parti politik
dan para penyokong supaya tidak menjalankan aktiviti meraih undi hari
ini dan SPR, katanya, akan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan
pilihan raya mengikut yang ditetapkan.
Setakat ini juga tiada
aduan berhubung pembukaan barong panas kecuali pemerhatian mendapati ada
penyokong bersorak di luar pusat pengundian tetapi suasana amat
terkawal, katanya.
"Setakat memakai baju dengan logo di luar 50
meter dari pusat mengundi tanpa tindakan aktif meraih undi, itu tidak
mengapa tetapi jika aktif meraih undi, itu memang tidak boleh.
"Kita
akan berusaha memantau setakat mungkin, kalau ada mereka lakukan
aktiviti meraih undi secara aktif, kita akan ambil tindakan," katanya.
PRK
Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya,
Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.
PRK itu
menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan
Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil Barisan Nasional,
Wendy Subramaniam (Gerakan),
Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa)
serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd
Ghaffar.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan