Anwar berkata, keresahan masyarakat Melayu terhadap DAP adalah tidak berasas kerana menurut beliau, agama Islam mengajak pengikutnya menyebarkan kedamaian dan menegakkan keadilan.
“Saya sebagai Muslim, agama saya ajar untuk membawa kedamaian, tegakkan keadilan. Bila soal kaum ini, apa erti agama tanpa rasa kasih sayang. Sama ada DAP atau tidak, kena ingat.
“Saya pergi banyak tempat, orang Melayu kata kepada saya: ‘Anwar awak okay, tetapi awak rapat sangatlah dengan DAP’. Iya, ramai yang cakap macam tu,” katanya sewaktu berucap dalam Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Menurut Anwar, beliau hanya akan bermusuh dengan individu yang bersikap zalim kepada pihak lain, pemimpin yang menindas rakyat dan pihak yang menggunakan kuasa untuk merompak harta rakyat.
“Saya kata apa salahnya (bekerjasama dengan DAP). Saya musuh dengan perompak, musuh dengan pembunuh, musuh dengan orang yang menindas rakyat, musuh dengan orang yang menggunakan kuasanya untuk rompak harta rakyat.
“Saya musuh dengan orang yang macam itu, sebab itu kita lawan sejak sekian lama. Saya tidak musuh dengan sesiapa, jika saudara jadi orang Hindu yang baik, orang Buddha yang taat, saya tidak musuh. Musuh dengan orang zalim, itu yang saya belajar daripada agama saya,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut memberi peringatan kepada segelintir pemimpin parti yang lupa diri selepas diangkat menjadi pemimpin dan dikenali di seluruh negara dan merasakan dirinya hebat.
“Saudara menang di Parlimen, cuba bertanding Bebas tengok. Jangan kata orang lain, saya sendiri belum tentu lagi (menang). Jadi kena ingat, jangan perasan sangat. Kita menang kerana bertanding atas nama PKR.
“Saudara jadi calon, diangkat, dikenali di negara ini kerana parti. Oleh yang demikian, jangan lupa, bila sudah pegang (jawatan) itu dan ini, anggap ini kuasa aku, hanya agihkan kepada orang-orang aku. Saya hendak beritahu, orang-orang saya adalah semua anggota PKR,” katanya.
Ketika ditanya adakah kenyataannya itu merujuk kepada mana-mana pihak, Anwar berkata, ia adalah peringatan umum kepada semua pemimpin, termasuk dirinya sendiri.
“Ini peringatan kepada semua, termasuk saya sendiri yang menjadi presiden kerana dokongan ahli-ahli. Dalam keadaan susah, ahli-ahli menyokong. Jadi bila saya pimpin saya kena fikir seluruh jentera dan ahli parti,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan