Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengelak soalan mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin DAP menerima penjelasan Ronnie Liu berhubung artikel Adun berkenaan yang mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Syed Saddiq, tumpuan kini harus diberikan terhadap pilihan raya kecil di Tanjung Piai terlebih dahulu.
"Saya rasa perkara paling mustahak sekarang adalah untuk fokus kepada PRK Tanjung Piai dan apa-apa perbincangan susulan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) seperti apa yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen berkata pihaknya menerima penjelasan Liu tetapi ahli-ahli parti dinasihatkan menggunakan saluran dalaman apabila menyatakan rasa tidak puas hati dengan rakan-rakan komponen mereka.
Beliau memberikan kata dua dan tempoh selama dua minggu untuk Liu (gambar) memohon maaf atau menerima tindakan balas daripada Pemuda Bersatu.
Keputusan untuk menerima penjelasan Liu tidak mencerminkan kenyataan tegas oleh setiausaha penganjur parti itu Anthony Loke, yang merujuk Adun berkenan kepada jawatankuasa displin.
Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, menggambarkan artikel Liu itu sebagai 'perbuatan sabotaj'.
"Kenyataan Ronnie Liu ini boleh dilihat sebagai tindakan sabotaj, sesuatu yang sangat serius. Saya lihatnya sebagai tindakan sabotaj untuk mengganggu kestabilan dan keharmonian gabungan PH," katanya.
Menariknya, keputusan DAP menerima penjelasan Liu itu dibuat selepas Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, mempertahankan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung kenyataan beliau terhadap parti itu dalam satu rakaman video.
Dalam video berkenaan, Ahmad Faizal mendakwa bersendirian menentang DAP di Perak dalam usahanya mempertahankan tanah orang Melayu dan kepentingan agama Islam.
Bagaimanapun, Mahathir berkata menteri besar itu terpaksa menjelaskan keadaan sebenar di Perak kepada kumpulan nelayan, yang mempunyai tanggapan bahawa PH dikuasai oleh DAP.
Sementara itu, Liu, memberitahu Malaysiakini semalam bahawa beliau menyambut baik keputusan Jawatankuasa Disiplin dan berikrar untuk terus bercakap benar.
Dalam artikel kontroversi berkenaan, beliau mengkritik prestasi Mahathir dan mengatakan jika Pengerusi Bersatu itu cuba untuk memecahbelahkankan PH, - DAP, PKR, Amanah, Warisan dan Upko - masih boleh menubuhkan kerajaan tanpa Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan