HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 November 2019

Tiada akta larang beri sumbangan ketika PRK, kata ahli Parlimen

Salahuddin Ayub ialah ahli Parlimen Pulai serta menteri 
pertanian dan industri asas tani.
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub mempertahankan sumbangan yang diberikan kepada sebuah sekolah di Tanjung Piai dan berkata tiada undang-undang yang melarang beliau berbuat demikian ketika pilihan raya kecil.

“Itu kebetulan saya ada situ (ketika PRK), memang kewajipan saya untuk beri sumbangan pada semua sekolah dan tidak ada undang-undang yang kata kita tidak boleh beri masa pilihan raya atau selepas. Saya menteri, saya boleh beri bila-bila masa,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, sumbangan RM5,000 yang diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut, susulan permohonan sekolah itu beberapa bulan lalu sebelum PRK.

“Ya, memang saya bagi sebab surat (permohonan) itu telah diberi kepada saya beberapa bulan lalu.

“Seperti biasa, setiap sekolah di negara ini bukan saja di Tanjung Piai, Parlimen saya Pulai,
termasuklah guru-guru yang mengenali saya sebagai menteri daripada anak tempatan Tanjung Piai dan mereka meminta sumbangan dan saya beri kepada mereka.

“Saya bertemu dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan saya telah menyumbang, saya janjikan sebelum pilihan raya,” katanya merujuk sumbangan diserahkan kepada sekolah itu dalam satu perjumpaan tertutup semalam yang mendapat kritikan pelbagai pihak di media sosial menyifatkan ia cubaan meraih sokongan untuk memenangkan calon Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: