HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 November 2019

Tiada perebutan kerusi dengan MCA, hanya berbeza kepentingan, kata Zahid

Presiden Umno Ahamad Zahid Hamidi pada majlis penamaan 
calon PRK Tanjung Piai hari ini.
 
PONTIAN: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu perebutan kerusi antara Umno dan MCA tidak pernah timbul, walaupun mengakui berlakunya perbezaan kepentingan antara dua parti itu.

“Kompromi antara parti komponen BN memperlihatkan permuafakatan ini. Kolaborasi antara kaum ini. Ia diterjemahkan dengan pemilihan calon BN Wee Jeck Seng dari parti MCA,” katanya pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

“Tentunya kita harus ada semangat BN tinggi dan kerusi ini pernah dipegang oleh MCA kerana 42 peratus pengundi sini pengundi Cina.

PRK Tanjung Piai pada 16 Nov depan menyaksikan pertarungan enam penjuru selepas calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua Bebas disahkan pencalonan masing-masing.

Mereka yang disahkan bertanding ialah Wee, Karmainie Sardini (PH-PPBM), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta calon bebas, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zulkifly Mohd Tahir mengumumkan nama calon terbabit selepas pencalonan ditutup pada jam 10 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Zahid berkata, beliau tidak menjangka BN akan berdepan cabaran yang terlalu besar dalam PRK kali ini sekiranya jentera pilihan rayanya bersatu padu.

Beliau juga berkata, jangkaan itu boleh dilihat bukan sahaja pada kehadiran kepimpinan parti, tetapi juga semangat penyokong MCA yang amat luar biasa.

“Tentunya kerajaan hari ini perlu diberi satu signal jelas bahawa mereka tidak lagi relevan di hati dan fikiran rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan berharap pengundi akan menggunakan kebijaksanaan masing-masing dalam memilih calon dan parti yang akan mewakili mereka di kerusi Parlimen Tanjung Piai

Beliau berkata, pengundi tidak harus membuat pilihan berdasarkan emosi, sebaliknya membuat pertimbangan yang rasional.

“Wakil rakyat yang menang bertanggungjawab menjaga kepentingan penduduk dan pembangunan di sini untuk 3 tahun akan datang,” katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari PPBM pada 21 Sept lalu kerana komplikasi jantung.

Hari mengundi awal ditetapkan pada 12 Nov, sementara hari mengundi pada 16 November.

Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan jumlah pengundi seramai 52,986 orang yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 57% pengundi di Tanjung Piai merupakan orang Melayu, diikuti Cina (42%) dan India (1%).

Tiada ulasan: