Lepas kita berheboh-heboh dengan abu mayat Chin Peng, kita dihantui pula oleh Dong Zong. Dong Zong ini adalah NGO Bani Cina. Kisah Bani Melayu dihantui oleh Dong Zong ini bukan cerita baru.
Ini kisah lama. Sudah lama membarah. Tapi tulisan ini bukan tentang hantu Dong Zong. Tulisan ini tentang maruah Bani Melayu. Nama Dong Zong terkait sama sebagai pemangkin hujah.
Saya terbaca kenyataan dari beberapa badan NGO Bani Melayu yang mahu Dong Zong diharamkan.
Saya juga terbaca tuntutan yang mahukan tindakan diambil terhadap Dong Zong. Saya juga ternampak kenyataan pemimpin parti Islam yang menyelar Dong Zong kerana menolak tulisan Jawi.
Saya juga terbaca tuntutan agar sekolah Cina dihapuskan.
Untuk saya semua ini lawak. NGO Bani Melayu buat lawak. NGO Bani Cina Dong Zong ini pun buat lawak. Mereka buat lawak bodoh. Ops, saya ulangi, mereka membuat lawak bodoh yang amat bahaya. Kah, kah, kah!
Jika Dong Zong diharamkan apakah Bani Melayu akan menerima Bani Cina dengan hati terbuka? Apakah kerana Dong Zong wujud segala usaha kerja Bani Melayu gagal?
Wahai Bani Melayu sila beri jawapan jujur kepada pertanyaan yang saya tanyakan. Jangan berselidung. Kata induk di sini ialah jujur. Bani Melayu wajib bersikap jujur. Tidak ada oik dan tidak ada ek.
Justeru saya menolak pengharaman Dong Zong. Penolakan ini bukan kerana saya peminat setia Dong Zong. Saya tidak akan menyokong Dong Zong diharamkan kerana saya memiliki falsafah yang menolak segala bentuk pengharaman. Saya menolak segala bentuk pekara yang tidak dibolehkan; terutama jika pengharaman dan larangan ini muncul dari arahan atau hukum daulah.
Saya adalah pengaju falsafah: dilarang melarang. Terlalu banyak larangan dan terlalu banyak tanda tak boleh terpampang dihadapan kita. Atau dalam bahasa Arab terlalu banyak mumnung. Amin.
Pada hemat saya niat untuk mengharamkan Dong Zong ini adalah salah. Ini kerana Dong Zong satu pertubuhan yang mewakili satu idea – mewakili satu pandangan. Idea dan pandangan tidak boleh diharamkan. Idea dan pandangan memiliki nafas dan nyawa tersendiri. Idea dan pandangan boleh dilembagakan sebagai haram. Tapi idea dan pandangan akan terus bergerak. Idea tidak dapat dipagar, digari atau ‘disosmakan’.
Memasung pendapat adalah kerja yang sia-sia. Contohnya ialah pandangan ateis. Ateis tidak percaya kepada wujudnya tuhan. Mereka rasionalis. Dari zaman Baitul Hikmah di era Harun Aminul Rashid (786- 809) pandangan Muktazilah ini telah wujud. Pandangan Ateis dilarang dipropagandakan tetapi pandangan dan idea ateis wujud bersepah-sepah dalam negara kita ini.
Ini sama juga dengan langkah mengharam, melarang dan menghukum homoseksual. Tetapi hakikatnnya homoseksual berada di mana-mana. Justeru untuk saya niat mengharamkan Dong Zong, ateis, Muktazilah homoseksual, Perkasa, Isma atau apa sahaja badan adalah lawak dan satu kerja yang sia-sia.
Pada tahun 2020 melarang pandangan, melarang idea adalah kerja bangang. Seribu MCMC bermakna seribu pegawai kerajaan makan gaji buat buat kerja sia-sia. Khalas.
Begitu juga dengan tuntutan agar sekolah sekolah Cina ditutup. Apakah Bani Melayu akan menjadi lebih bijak jika sekolah Cina ditutup? Apakah kebijaksanaan Bani Melayu ini bergantung dengan sekolah Cina?
Untuk saya lebih baik segala idea terlarang atau tidak dibicara dan dihujah secara terbuka untk dinilai oleh orang ramai. Pandangan yang bodoh dan tak masuk akal pasti akan ditolak. Berbincang berhujah dan berdebat secara terbuka bukan secara songsang atau secara bawah tanah lebih sehat.Pendekatan terbuka lebih menjanjikan untuk mendapat kata hasil dan kata putus.
Apa sahaja idea yang diharamkan atau dilarang akan bergerak di bawah tanah. Ini lebih bahaya. Pada ketika ini soh she soh she seperti ceramah karut-marut dan cerita dongeng banyak bertaburan.
Larangan di sana sini. Ini tak boleh disentuh. Yang ini jangan tanya. Yang ini pekara sensitif. Yang ini suci. Yang ini sakral. Yang ini ada tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sentimen prasangka perkauman berterusan. Dari kajian impirikal saya mendapati sikap Bani Melayu benci kepada Bani Cina tidak berkurangan malah makin bertambah. Ini berbanding ketika saya sedang membesar di sekolah menengah hingga ke kuliah universiti.
Sentimen Melayu benci Cina ini makin meluas dengan bantuan teknologi media baru. Sekarang setiap sosok adalah pemilik akhbar, pemilik tv dan pemilik radio. Sentimen perkauman tidak perlu RTM atua TV3. Bani Melayu dan Bani Cina bukan Tutsi dan Hutu yang memerlukan Radio Rwanda untuk menimbulkan benterokan. Amin
Maka dalam suasana inilah saya memunculkan persoalan maruah Melayu.
Nama asal bumi yang kita duduki ini ialah Tanah Melayu. Pekara ini ramai yang tidak sedar atau tidak tahu. Untuk yang tidak sedar kita sedarkan. Untuk yang tidak tahu kita beri tahu. Jangan jadi profesor kangkung atau profesor carma atau polis pencen cuba menafikan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Kita semua cari makan. Tapi cari makan dengan hujah bangang akan terus dilihat mat bangang atau profesor bangang. Khalas.
Kerana bumi ini asalnya Tanah Melayu maka budaya penakrif di bumi ini ialah budaya Melayu.
Budaya penakrif inilah yang menjadi tulang rusuk maruah Melayu. Tidak ek tidak ada ook dalam perkara ini.
Kalau Bani Cina atau Bani Melayu pindah ke United Kingdom maka budaya penakrif ialah budaya Anglo Saxon. Kalau Bani Cina atau Bani Melayu pindah ke Jerman maka budaya penakrif pastiah ialah Deutsche. Perkara Deutsche ini cuma digugat oleh Bani Israel pada satu ketika dahulu. Hasilnya sampai sekarang Bani Israel faham apa itu budaya penakrif.
Maka dari sini saya bertanya - apakah dengan pengharaman Dong Zong dengan serta-merta Bani Melayu akan lebih bermaruah? Apakah dengan tertutunya sekolah Cina Bani Melayu akan menjadi bijak bermaruah?
Untuk saya jawabnya tidak.
Bani Melayu wajib menerima hakikat bahawa maruah Melayu bukan terikat dengan Dong Zong. Tidak bergantung dengan tulisan Jawi atau sekolah Cina. Maruah Melayu ada dalam sanubari, dalam fikrah dan dalam jati diri Melayu itu sendiri.
Mari kita – sebagai Bani Melayu melihat diri kita sendiri. Melihat ke dalam dan merungkai jiwa dan naluri yang kita heboh-hebohkan sebagai maruah Melayu.
Maruah Melayu ialah memastikan wujudnya garis budaya Melayu – budaya yang lahir dan wujud dari mata air bumi ini sebagai budaya penakrif. Justeru tak perlu haramkan Dong Zong atau sekolah Cina atau sekolah Tamil. Ini isu sampingan. Jangan jadikan isu sampingan isu induk.
Sentiasa sedar apa dia manifestasi. Dan apa dia inti pati. Jangan gagal memahami garis falsafah ini.
Jika gagal maka kita beramuk melawan manifestasi walhal ada yang lebih besar yang melahirkan manifestasi itu.
Para pemikir, para intelektual dan budayawan Bani Melayu seharusnya mewujudkan satu gerakan massa untuk menimbulkan kesedaran Melayu. Kesedaran Melayu bukan dengan menutup sekolah Cina atau sekolah Tamil.
Apabila budaya penakrif gagah besar berwibawa maka dengan sendirinya Melayu akan bermaruah. Tak perlu undang-undang.Tak perlu rujukan hukum hakam. Tak perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan.
Bani Cina atau ke pendatang termasuk Bani Melayu jika menjadi kaum imigran di London, Paris atau Frankfurt akan dengan serta-merta akur dengan budaya penakrif tempatan. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Mereka akan sedar bahawa merak adalah imigran. Ini kerana wujudnya budaya penakrif yang ampoh.
Untuk sementara waktu kita lupakan Dong Zong, sekolah Cina atau tulisan Jawi. Mari kita – sebagai Bani Melayu melihat diri kita sendiri. Melihat ke dalam dan merungkai jiwa dan naluri yang kita heboh-hebohkan sebagai maruah Melayu.
Maruah ialah harga diri. Maka apa sebenarnya harga diri Bani Melayu? Ini persoalan yang wajib kita sama-sama merungkai. Ini bukan kerana berniat untuk meminggir bani ini atau bani itu. Bukan, bukan, bukan. Budaya penakrif ini wajib wujud selari dengan maruah Melayu. Apa dia maruah Melayu? Tunggu minggu hadapan.
*HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan