EMPAT BELAS warga China dari Wuhan yang tiba di negara ini dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 28 Januari lalu sudah dihantar pulang ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu diambil berikutan langkah kerajaan yang menghalang pelancong dari Wuhan serta Wilayah Huibei, China bagi mengelak penularan koronavirus baharu di negara ini.
“Hasil semakan dokumen dilakukan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di KLIA mendapati 14 individu berkenaan berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak JIM mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua individu yang seterusnya dihantar pulang.
“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai, pelawat dari Wuhan dan Wilayah Huibei tidak dibenarkan masuk melalui semua pintu masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, langkah keselamatan sempadan juga dititikberatkan pihaknya memandangkan Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang luas termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita banyak berdepan dengan kemasukan pelancong dari luar negara di setiap pintu masuk akan melalui pemeriksaan.
“Sekiranya ada warga asing yang masuk secara haram, mereka juga akan diperiksa dan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa ada tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan virus berkenaan diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Orang ramai diingatkan supaya tidak memutarbelitkan fakta dan menyebarkan berita palsu mengenai virus berkenaan di media sosial kerana tindakan itu boleh mengakibatkan masyarakat panik serta takut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan