KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim sudah memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal 1MDB.
Beliau berkata beberapa individu lain yang dikaitkan dengan rakaman itu akan dipanggil dalam masa terdekat, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
“Setakat ini kita belum dapat perkembangan lanjut berhubung kesahihan rakaman audio. Setakat semalam baru panggil Azeez untuk memberi keterangan,” katanya pada sidang media di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Hamid berkata kes rakaman audio itu terganggu kerana Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga perlu selesaikan kes lain.
“Buat masa ini, D5 terbeban dengan banyak sangat kes…kes perkauman yang sekarang ini macam-macam suka menghasut. Hentikanlah kempen membenci. Kenapa harus semasa kita membenci antara satu sama lain?” katanya.
SPRM pada 8 Jan mendedahkan 9 rakaman audio yang dikatakan suara bekas perdana menteri Najib Razak; isterinya, Rosmah Mansor; bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan, berbincang mengenai urusan berkaitan 1MDB.
Agensi anti-rasuah itu berkata, individu lain terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, dan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim.
Polis sudah mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan timbalannya, Azam Baki serta 5 pegawai lain yang berkaitan dengan pendedahan rakaman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan