BAGAN DATUK: Pergaduhan sesama sendiri telah mengundang penjajahan asing ke atas tanah air hingga turut menyebabkan kelemahan berpanjangan dialami bangsa, demikian iktibar diimbas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau menyingkap akibat dari Perjanjian Pangkor di Perak tahun 1874 di mana penjajah mengambil peluang daripada perpecahan penduduk dan menakluk negara ini yang berbeza dari kedatangan Islam masuk ke negara-negara seluruh dunia.
Terangnya, Islam telah meninggalkan tamadun buat semua bangsa dan negara yang menerimanya, tetapi kemudiannya mula menjadi lemah apabila apabila bangsa itu meninggalkan ajaran Islam sebenar.
“Ternyata apabila orang Islam meninggalkan Islam, mereka jadi lemah ditakluk oleh kuasa-kuasa penjajah, meninggalkan Islam menyebabkan perpecahan antara satu sama lain. Sama-sama orang Islam dan berbagai kaum berbagai agama, membolehkan penjajah itu menakluk kita, membahagi-bahagikan tanah air kita.
“Indonesia di bawah pengaruh Belanda. Malaysia pengaruh British. Indo-China pengaruh Perancis. Filipina pengaruh Sepanyol. India British. Sebahagian China British. Kaum-kaum ini dibawa, oleh kerana Tanah Melayu adalah tempat yang strategik dari segi geografi, dilihat dalam petanya.
“Dilonggok di sini berbagai-bagai kaum untuk menjana ekonomi mereka. Maka wujud masyarakat majmuk ini. Oleh kerana orang Melayu masih memelihara ajaran Islam, yang ada sifat kemanusiaan, masyarakat Melayu boleh menerima berbagai kaum dan berbagai agama ini,” ujarnya.
Namun kemukanya, kerjasama ditunjukkan kaum Melayu kepada pelbagai bangsa yang datang ke negara ini tidak berlaku di tempat lain sebagaimana terjadi di Myanmar dan di Xinjiang di mana berlaku penghapusan etnik di beberapa negara di dalam dunia.
Jelasnya, hal tersebut tidak berlaku di Tanah Melayu ini kerana penduduknya berpegang kepada ajaran Islam yang mengertikan apabila PAS dan Umno bermuafakat di atas dasar Islam ianya turut menjamin hak-hak masyarakat majmuk.
Menurutnya, ia berbeza dengan penjajahan yang bukan sahaja menakluk tanah air, tetapi menjarah hasil bumi dan memperhambakan rakyat, termasuk membelenggu pemikiran penduduk peribumi.
Pun begitu katanya, atas kelemahan yang ada, walaupun selepas negara ini bebas merdeka daripada penjajah, pemimpin ketika itu gagal membuat muamalah politik untuk melakukan perubahan kembali kepada Islam.
Hal tersebut ujarnya, menyebabkan kelemahan terus berlaku, namun kini semangat himpunan hari ini diyakini beliau akan membawa perubahan kepada negara kepada lebih membina dan lebih baik dari sebelumnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan