HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Hong Kong sekat kemasukan individu ada rekod berkunjung ke Hubei

MALAYSIAKINI





Hong Kong memutuskan untuk melarang kemasukan mana-mana individu yang pernah mengunjungi Hubei sejak dua minggu lalu, bermula hari ini.

Larangan itu bagaimanapun hanya kepada orang luar dan tidak terpakai untuk penduduk Hong Kong, menurut laporan Reuters hari ini.

Setakat ini, enam kes Koronavirus sudah disahkan di wilayah pentadbiran khas China itu.

Hubei ialah wilayah di China di mana ibu kotanya, Wuhan, menjadi tempat Koronavirus, atau 2019-nCoV, mula dikesan. Setakat ini virus itu telah meragut 80 nyawa di China, dengan kes yang disahkan mencecah angka 2,744.

Gabenor Hubei Wang Xiaodong dalam sidang media semalam menyifatkan keadaan di sana sebagai "teruk" dengan bekalan perubatan yang tidak mencukupi.

Dia juga berkata berasa "amat berdukacita" dan bertanggungjawab terhadap meletusnya virus itu.

Bagaimanapun ia tidak disambut baik sejumlah warga China di media sosial Weibo, yang merasakan permohonan maaf itu tidak memadai dan tidak menyelesaikan masalah yang berlaku.

Semalam Taiwan juga memutuskan untuk mengetatkan sekatan terhadap kemasukan pelawat dari China untuk mencegah penyebaran wabak itu, namun pengecualian diberikan kepada pelancong perniagaan dan individu yang berkahwin dengan penduduknya.

Di Malaysia, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya menimbang untuk menambah jumlah pengimbas suhu di pintu masuk dan keluar utama sebagai salah satu langkah mengesan mereka yang tiba di Malaysia, yang sudah menunjuk tanda-tanda dijangkiti virus itu

Tiada ulasan: