HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Januari 2020

PM: K'jaan mahu bawa pulang rakyat M'sia terperangkap di Hubei

MALAYSIAKINI




Kerajaan akan berunding dengan China untuk membenarkan warga Malaysia di Hubei pulang, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata rekod kerajaan menunjukkan sejumlah 78 warga Malaysia kini terperangkap di Hubei, susulan langkah kerajaan China menutup pergerakan keluar masuk di wilayah itu, bagi menghalang penularan virus novel koronavirus (2019-nCoV).

"Rakyat Malaysia yang berada di Wuhan sekarang tak boleh keluar, kita nak bincang dan runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tak sakit boleh balik ke Malaysia.

"Mereka akan diperiksa bila sampai ke Malaysia, jika ada bukti mereka sakit (dijangkiti) koronavirus, atau mereka berada di sana (Hubei) lama, mereka akan dikuarantin sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing," katanya ketika sidang media hari ini.

Katanya setakat ini belum ada warga Malaysia di Wuhan yang dilaporkan telah dijangkiti virus tersebut.

Setakat ini 2019-nCoV telah mengorbankan 132 nyawa dengan kira-kira 6,000 kes di China.

Ratusan warga Amerika Syarikat dan Jepun sudah dikeluarkan dari Wuhan dan wilayah Hubei, manakala pengeluaran warga Australia sedang dirancang.

'Warga M'sia kekurangan bekalan makanan'

Selain terperangkap, kata Mahathir, warga Malaysia di Wuhan juga dilaporkan berdepan masalah kekurangan bekalan makanan.

"Ada yang hanya ada makanan untuk empat hari," katanya.

Justeru, katanya, jika Malaysia perlu menghantar kapal terbang ke sana untuk membawa pulang warganya, kerajaan juga berhasrat menghantar bantuan.

"Kita akan bawa makanan, dan kalau dapat (bawa) sarung tangan dan topeng muka... kerana ini juga kekurangan bekalan," katanya.

Berkenaan status warga China yang dirawat di Malaysia kerana koronavirus, Mahathir berkata mereka tidak menunjukkan simptom yang memburuk.

Mahathir juga berkata pelancong dari China yang berada dalam negara tidak dianggap tidak selamat, dan beliau juga tidak merasakan mereka akan kekal di Malaysia.

"Mereka akan perlu tinggalkan (Malaysia)," katanya lagi.

Katanya lagi, mereka yang keluar dari Malaysia tidak akan dikenakan pemeriksaan kesihatan kerana keutamaan kerajaan adalah mereka yang masuk ke dalam negara.
 
 

Tiada ulasan: