HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Januari 2020

TIADA YANG PELIK BILA ANWAR TIDAK TERUSKAN SAMAN



Hasil carian imej untuk FOTO ANWAR IBRAHIM
Gambar hiasam

Sejak semalam, ramai yang tampak tak puas hati dengan keputusan Anwar Ibrahim tidak meneruskan saman terhadap Mohammad Yusoff Rawther berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa Presiden PKR itu melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Keputusan Anwar itu diumumkan oleh peguamnya, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan semalam.

Memang benar Anwar sebelum ini bersungguh mahu menyaman Yusoff dan menyebut tidak memaafkan perbuataan keji serta fitnah yang dilemparkan terhadapnya, meskipun selepas Pejabat Peguam Negara mendapati tiada sebarang bukti perlakuan jenayah telah dilakukannya.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ramkarpal Singh, apa yang dilakukan Anwar dalam tindakan saman itu hanyalah untuk membersihkan namanya dan bukan untuk mendapat sebarang ganti rugi.

Walhal, tambah beliau, keputusan Pejabat Peguam Negara itu dengan sendirinya bermakna nama Presiden PKR itu sudah pun dibersihkan.

Lantaran itu, atas nasihat Ramkarpal Singh, Anwar akhirnya setuju untuk tidak meneruskan saman kerana matlamat untuk membersihkan namanya sudah pun tercapai serta tiada keperluan tindakan dua kali untuk tujuan itu.

“Justeru, tidak ada lagi keperluan memfailkan saman fitnah yang akan mengambil banyak masa serta membabitkan kos tidak perlu,” kata Ramkarpal lagi.

Dalam hal ini, sebenarnya tidak ada apa-apa yang pelik dengan keputusan Anwar tidak meneruskan samannya itu.

Ia adalah langkah normal yang tidak sukar untuk difahami setelah Anwar berfikir panjang dan mengambil kira faktor-faktor yang lain.

Menyaman atau tidak meneruskan adalah pilihan beliau dan tidak berbeza dengan ramai orang lain yang juga pernah mengambil tindakan yang sama.

Malah, pihak pendakwa pun banyak kali menarik balik sesuatu kes yang sudah difail atau dibicarakan.

Selain itu, keputusan Anwar itu juga berikutan Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador telah pun memfailkan satu saman lain terhadap Yusoff, Jumaat lalu.

Berikutan saman itu, tidak perlu dan membuang masa jika satu saman bertindih dikemukakan terhadap orang yang sama.

Yang lebih penting, menjelang detik-detik terakhir peralihan kuasa Perdana Menteri bakal dimuktamadkan tidak lama lagi, Anwar harus fokus kepada isu tersebut dan tidak membiarkan hal-hal lain mengganggu tumpuannya.

Jika ada saman itu, tidak mustahil ia akan dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan lagi tarikh peralihan kuasa itu.

Kini, tanpa gangguan di depannya, tiada sebab lagi untuk Majlis Presiden tidak boleh memuktamadkan tarikh peralihan kuasa bagi memastikan PH tidak berpecah dan terus relevan sebagai kerajaan yang komited menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.

Tiada ulasan: