HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Ibrahim dakwa Putra ubat baharu mampu lawan ‘virus’ DAP

Manzaidi Mohd Amin
MGF26122019_PC-PUTRA11
Dr. Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR – Presiden Presiden Parti Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim berkata, selain gejala koronavirus, Malaysia juga berdepan dengan wabak penyakit yang dibawa oleh parti cauvinis, yang mahu mendoktrinkan pemikiran rakyat mengikut aliran perjuangannya.

Tegas beliau, parti cauvinis itu adalah DAP yang berkembang menyebarkan ‘virusnya’ dengan bantuan parti politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dengan gejala politik yang lebih mementingkan diri ini, Malaysia kini berada dalam kesakitan dan keadaannya amat bahaya kepada masa depan orang Melayu, Islam dan Bumiputera.

“Virus (fahaman) DAP ini tidak boleh dihalang oleh Barisan Nasional (BN) mahupun Pas, kerana vaksin atau ubat jenama BN sudah luput masa dan tarikh, serta tidak boleh mengubati sebarang jenis penyakit lagi.

“Sebabnya dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC sendiri menghidap banyak penyakit dan sememangnya parti ini sudah nazak, termasuk Pas yang pernah bersengkokol dengan DAP dalam pembentukan Pakatan Rakyat (PR) tidak lama dulu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Gegaran Kesedaran Rakyat sempena pelancaran Putra Bahagian Tanah Merah di Kelantan, malam tadi.

Lebih 600 penduduk Kampung Bukit Panau dan sekitar hadir.

Turut hadir, Ketua Penyelaras Putra Kelantan, Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar; Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan; dan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali.

Katanya, bagi mengubati virus DAP, orang Melayu, Islam dan kaum Bumiputera memerlukan ‘ubat’ jenis baru iaitu parti Putra.

Ujar beliau, parti itu masih baru, segar dan bersih serta sesuai untuk orang Melayu, Islam dan Bumiputera jadikan tempat bernaung untuk meneruskan kehidupan.

Putra tegas Ibrahim, mampu menyelamat bumi dan tanah Melayu Malaysia daripada dipijak dan diambil oleh parti cauvinis seperti berlaku kepada Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, beliau turut menghuraikan 10 Sumpah Keramat Putra yang menjadi tunjang perjuangan parti itu.

Kata beliau, antara yang akan diperjuangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda ialah memastika jawatan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara,
Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha Negara mesti disandang oleh orang Melayu beragama Islam sahaja.

“Kita juga mahu memastikan sistem pendidikan satu aliran, tanah rizab Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, memperkasa askar Melayu, memperkasa undang-undang demi keselamatan rakyat dan negara akan kekal terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: