HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2020

'Syarikat penerbangan sedia bantu bawa keluar warga M'sia di China'

ALYAA ALHADJRI & LU WEI HOONG
 


Syarikat penerbangan Malaysia Airlines bersama-sama Air Asia dan Malindo menzahirkan kesanggupan mereka untuk membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari China susulan wabak coronavirus.

Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata perkara itu bagaimanapun tertakluk pada arahan lanjut berhubung sebarang rancangan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di negara itu.

“Saya sudah berbincang dengan tiga syarikat penerbangan, Malaysia Airlines, Air Asia,
Malindo...Mereka sanggup bekerjasama dengan kedutaan kita di China untuk mengenal pasti rakyat Malaysia yang terkesan dan membawa mereka keluar (dari China).

“Kita masih tunggu arahan dari atas, (tetapi) syarikat penerbangan semua sedia beri kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di Dewan Hokkien Klang.

AirAsia dan Malindo telah menggantung semua penerbangan ke Wuhan, China buat masa ini.

Muhammad Bakhtiar turut berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak dalam industri pelancongan dalam beberapa hari lagi bagi membincangkan isu berkaitan kemasukan pelancong dari China.

“Saya faham bahawa OTA (agensi pelancongan dalam talian) meminta hotel (di sini) untuk membayar balik tempahan yang dibuat dari China dan sebagainya.

“Kita akan bincang lebih lanjut mengenainya,” katanya.

Mengambil kira tahap serius wabak global itu, yang telah mengorbankan 56 nyawa di China dan empat kes disahkan di Malaysia, beliau berkata keutamaan adalah untuk berbincang bagaimana semua pihak dapat memainkan peranan mereka bagi membantu dalam situasi itu.

“Terutama sekali melibatkan hotel-hotel (di sini) ... di mana bayaran tempahan bilik hotel akan dipulangkan bagi pembatalan tempahan dari China,” tambahnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berasingan hari ini, berkata 87 orang Malaysia yang tinggal di Wuhan dan kawasan lain di wilayah Hubei, China, yang pulang ke Malaysia sempena cuti Tahun Baru Cina didapati bebas daripada virus itu.

Katanya, kesemuanya menjalani pengesanan kesihatan di pintu masuk antarabangsa seluruh negara sebaik ketibaan mereka.

Hubei dan ibu kotanya, Wuhan, merupakan kawasan asal wabak 2019-nCoV, yang setakat ini telah menjangkiti hampir 2,000 orang di China.


Tiada ulasan: