Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, cadangan DAP untuk mengiktiraf UEC adalah pengkhianatan besar kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, selain bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan melebarkan jurang perkauman di Malaysia.
“Sistem pendidikan sedia ada diperkenalkan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan menyanjungi bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi tonggak keharmonian negara.
“Manakala, UEC ditadbir oleh Dong Jiao Zong yang angkuh dengan sikap ekstrem sehingga tidak boleh bertolak ansur dengan modul tulisan Jawi yang hanya tiga muka surat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Bagaimanapun semalam, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan menafikan laporan berita yang disiarkan portal pro Pakatan Harapan (PH), mendakwa parti cauvinis itu akan tinggalkan kerajaan jika Putrajaya tidak mengiktiraf UEC.
Kor Ming menganggap, kata-katanya dalam satu temubual itu diambil “di luar konteks”.
Menurut Kamaruzaman, Pasukan Petugas Dasar UEC yang dilantik Kementerian Pendidikan hampir dua tahun lalu masih gagal mengeluarkan laporan rasmi meskipun tarikh akhir adalah pada Oktober 2019 lalu.
Jelas beliau, budaya ugut dalam kalangan DAP bukan suatu yang baharu, malah mereka amat terdesak untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina.
Katanya, kekalahan PH dalam lima pilihan raya kecil berturut-turut membuktikan DAP menjadi satu liabiliti besar dalam kerajaan.
“Pas berpendirian supaya DAP berhenti mendesak pengiktirafan UEC atau keluar daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan