HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Januari 2020

Orang kanan kerajaan ‘hilang’ waktu kempen punca kekalahan PH

Nizam Zain
MGF30012020_DISKUSI-PASCA-PRK-KIMANIS09
Timbalan Ketua MCA Sabah, Dr. Pamela Yong bercakap pada Diskusi Pasca PRK Kimanis : Fakta dan Pengajaran di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Dr Pamela Yong menyifatkan kekalahan Warisan ada kena-mengena dengan beberapa orang kanan Ketua Menteri Sabah yang ‘menghilangkan diri’ ketika minggu kedua berkempen.

“UPKO ada di situ, (tapi) orang kanan Ketua Menteri Sabah, iaitu Darell Leiking menghilangkan diri, selaku anak ahli Parlimen Penampang, adik-beradiknya yang menjadi pejuang kebebasan untuk rakyat Sabah.

“Di mana perginya pemimpin tempatan daripada PKR dan DAP? Malah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, di mana dia?” soalnya lagi.

Katanya lagi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi satu-satunya pemimpin nasional yang mendapat sambutan hangat apabila turun berkempen dalam PRK Kimanis.

“Anwar satu-satu pemimpin nasional yang mendapat sambutan hangat ketika turun berkempen tapi Mohamad Sabu, Tian Chua dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mendapat sambutan langsung,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan perbicaraan mahkamah yang sedang dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terbukti tidak menganggu peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan Parlimen Kimanis.

Sebaliknya kehadiran dua nama besar itu khususnya Najib menjadi saluran kepada para pengundi untuk meluahkan kekecewaan mereka dengan kerajaan dengan mengundi pembangkang, katanya.

“Datuk Seri Najib dengan fenomena bossku menjadi saluran kepada mereka (pengundi) untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap kegagalan kerajaan hari ini (Warisan-Pakatan Harapan),” katanya dalam Diskusi Pasca PRK Kimanis di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: